Home Pertahanan dan Keselamatan 28,033 unit rumah keluarga bakal dibina untuk anggota tentera – Ismail Sabri

28,033 unit rumah keluarga bakal dibina untuk anggota tentera – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan akan terus memberi tumpuan kepada agenda kebajikan terutamanya mengenai perumahan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara usaha yang sedang dilaksanakan ialah melalui Blueprint Perumahan 2.0 yang mana matlamat utamanya untuk membina 28,033 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) selesa dan kondusif dari tahun 2021 hingga 2030.

Selain itu, beliau berkata, Kementerian Pertahanan juga akan membuat penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sedia ada di seluruh negara bagi keselesaaan warganya.

“Melalui Aspirasi Keluarga Malaysia, selain daripada keterangkuman dan kebersamaan yang turut saya titik beratkan ialah nilai bangsa yang berbilang kaum,

“Keterangkuman dan kebersamaan ini termasuklah kesejahteraan anggota ATM yang begitu besar jasa khidmat bakti dan pengorbanannya kepada tanah air yang tercinta,

“Tidak ada suatu bentuk balasan yang setimpal jika hendak dibandingkan dengan apa yang telah dicurahkan demi keselamatan dan kedaulatan negara,

“Kerajaan akan tetap mencari jalan dan berusaha demi memenuhi keperluan dari sudut kebajikan khususnya dari segi perumahan,

“Saya pernah menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini, justeru saya menyedari dan memahami keperluan perumahan bagi anggota ATM. Mengambil kira jumlah anggota ATM di seluruh negara ketika ini, pembinaan RKAT baharu di seluruh negara adalah satu keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Taman LTAT, Bukit Jalil, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein: Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Ismail Sabri berkata, ketika beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan beberapa lagi pihak berkepentingan merangka Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), salah satu agenda yang menjadi keutamaan di bawah bab pertahanan ialah agenda perumahan anggota tentera.

“Alhamdulillah, RMK-12 sudah pun dibentang dan diluluskan, saya juga umumkan bahawa menerusi perancangan lima tahun ke hadapan negara, kerajaan akan membina kira-kira 10,200 unit RKAT dan kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara,

“Penting untuk saya maklumkan, 1,509 unit sudah pun dalam proses pembinaan, manakala 7,343 unit lagi sedang dalam proses perolehan,” tambahnya.

Beliau berkata, sebanyak 2,000 unit RKAT yang bakal dinamakan RKMAT akan dirasmikan hari ini yang memenuhi 85 peratus keperluan anggota ATM di Lembah Klang.

“Perbincangan dan persetujuan untuk menjadikan rumah mampu milik yang dibangunkan oleh LTAT di Bukit Jalil ini sebagai RKAT telah dilaksanakan semasa saya menjadi Menteri Kanan Pertahanan,

“Saya anggap ini sebahagian daripada langkah penting ke arah kesejahteraan Keluarga Malaysia. Lebih-lebih lagi, rumah yang bakal saya rasmikan hari ini, bukan rumah kosong, sebaliknya dilengkapi perabot, perkakas elektrik dan fasiliti riadah serta sosial seperti dewan serbaguna, jimnasium, surau dan unit kedai yang mana sangat selesa dan kondusif untuk didiami,” ujarnya. -airtimes.my

Galeri gambar:

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!