Home Semasa Saya dengar ada ‘pahlawan’ cakap isu Pulau Batu Puteh – Tun Mahathir

Saya dengar ada ‘pahlawan’ cakap isu Pulau Batu Puteh – Tun Mahathir

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar tindakan seorang ‘pahlawan’ yang bercakap mengenai kedaulatan negara, namun tidak berbuat apa-apa apabila 1,370 hektar tanah yang ditambak di Johor dijual secara terus kepada rakyat asing.

Bekas Perdana Menteri itu secara sinis turut memerli ‘pahlawan’ tersebut yang kononnya mahu mempertahankan kedaulatan negara berkaitan isu Pulau Batu Puteh.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Langkawi itu tidak secara jelas menyebut nama individu yang dimaksudkan, namun dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Semalam saya dengar ada yang cakap berdegar-degar macam pendekar yang mahu pertahan kedaulatan negara berkaitan isu Pulau Batu Puteh,

“Saya agak hairan dengan ‘pahlawan’ ini, yang pernah umum akan berlayar bila sauh dilabuh, tidak berasa marah atau perlu memperlihat kepahlawanannya apabila 1,370 hektar tanah yang ditambak di Johor dijual secara pegangan terus atau freehold kepada rakyat asing,

“Ini tidak mengambil kira kerosakan alam sekitar yang berlaku terhadap kawasan paya yang kaya dengan biodiversiti dan mengakibatkan nelayan dan penduduk di sekitar kawasan itu terjejas pendapatan dan mata pencarian mereka,

“Bukan saja ‘pahlawan’ ini tidak memberontak dengan penjualan hartanah itu secara freehold kepada rakyat asing, dia yang menjadi juara merasmi projek itu,” katanya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Semalam, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, beliau terkilan apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir menarik rayuan terhadap tuntutan Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi penghakiman yang memberi kedaulatan Pedra Branca kepada Singapura.

“Saya amat terkilan mengapa Perdana Menteri ketujuh membatalkan rayuan kita ke ICJ kononnya kita kena terima keputusan secara muktamad, tapi ada kluasa dalam ICJ di mana kalau ada fakta baharu kita boleh buat rayuan dan kita ada fakta baharu kurang-kurang tiga fakta baharu yang menyebabkan Kabinet yang saya pengerusikan ketika itu,” jelasnya.
Pada 9 Mei 2003, Malaysia dan Singapura bersetuju merujuk pertikaian berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh dan dua maritim berdekatan, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada ICJ.

Malaysia dan Singapura terlibat dalam pertikaian undang-undang sejak 1979 ketika Malaysia mengeluarkan peta yang menunjukkan Pulau Batu Puteh berada di perairan wilayah Malaysia. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!