KUANTAN, 2 Nov – Eksesais Paradise siri 8/2021 yang berlangsung selama 12 hari bermula pada 22 Oktober sehingga 2 November 2021 merupakan medan latihan bagi menguji dan menilai keberkesanan pelaksanaan operasi udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM telah menyempurnakan penutup Eksesais Paradise di Auditorium INSPRA, Pangkalan Udara Kuantan, hari ini.
Objektif utama eksesais ialah meningkatkan tahap kesiagaan dan saling kendali di dalam menjalankan operasi udara, menilai kesediaan tempur, kemahiran, kecekapan pegawai dan anggota serta menilai tahap keberkesanan peralatan sistem serta persenjataan TUDM.
Selain daripada itu, eksesais ini juga dapat meningkatkan keupayaan kebolehoperasian secara bersama antara TUDM, Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejajar dengan matlamat strategi pertahanan yang berteraskan 3 tonggak utama iaitu cegah rintang bersepadu, pertahanan komprehensif dan perkongsian berwibawa.
Ackbal berkata, penekanan terhadap 3 tonggak utama ini adalah bertujuan untuk membangunkan keupayaan pelbagai domain bagi mengesan, mencegah dan menafikan ancaman terhadap kepentingan pertahanan negara.
“Dengan adanya eksesais-eksesais yang dilaksanakan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya, kepentingan pertahanan Malaysia di sepanjang kawasan lapisan bersepadu di kawasan-kawasan teras, lanjutan dan hadapan pasti lebih terjaga,” katanya semasa ucapan penutup Eksesais Paradise.
Menurut Ackbal, eksesais ini juga adalah satu paltform terbesar TUDM bagi menambah baik prosedur dan peningkatan tahap kesiagaan TUDM dalam memastikan kerjasama berpasukan dan esprit de corps di kalangan anggota TUDM, TDM dan TDLM sentiasa diutamakan.
Eksesais PARADISE 8/21 melibatkan seramai 1,482 pegawai dan anggota iaitu 918 TUDM, 354 TDM dan 210 TLDM.
Antara latihan yang dilaksanakan adalah latihan pertempuran udara iaitu Offensive Counter Air (OCA) dan Defensive Counter Air (DCA), pengisian bahan api di udara atau Air to Air Refuelling (AAR), Mass Drop dan Special Operation Troop Insertion, Tactical Air Landing Operation (TALO), Hight Value Airborne Asset Protection (HVAAP), Combat Search and Rescue (CSAR), Aerial Sniping, Close Air Support (CAS), Military Freefall Insertion, Ground Forward Air Controller, Maritime Air Operations dan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR).
Latihan ini merupakan platform utama TUDM bagi menguji dan mempertingkatkan keupayaan serta kesiagaan dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan ruang angkasa negara.
“Ia penting dalam usaha TUDM memperkemas doktrin peperangan udaranya serta persediaan transformasi TUDM berkeupayaan dan berspektrum penuh menjelang tahun 2055,
“Persediaan ini adalah selari dengan pelan strategik TUDM jangka panjang iaitu Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau RMAF Capability Plan 2055 (CAP 55),” katanya. – airtimes.my
Galeri gambar: