Home Semasa Tahanan mati dalam lokap: GEGAR, SUARAM gesa siasat jika ada kecuaian

Tahanan mati dalam lokap: GEGAR, SUARAM gesa siasat jika ada kecuaian

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Gerakan Guaman Rakyat (GEGAR) hari ini menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) untuk campur tangan dengan menyiasat kematian seorang tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.

Dalam satu memorandum kepada SUHAKAM, kedua-dua pihak sebulat suara menegaskan pendirian mereka bahawa kematian Muhammad Hidayat Abdul Halim dalam lokap IPD Pekan adalah satu perkara serius.

“Kami berpendapat bahawa kebajikan tahanan sewaktu ditahan adalah tanggungjawab penuh pihak berwajib yang menahan mereka,

“Ini bertepatan dengan undang-undang domestik mahupun antarabangsa,” kata Pengarah Eksekutif SUARAM, Sevan Doraisamy dalam memorandum dikeluarkan secara bersama oleh SUARAM dan Gerakan Guaman Rakyat (GEGAR).

Hidayat, 44 tahun dilaporkan meninggal dunia pada 11 Oktober lalu semasa ditahan oleh polis.

Menurut kronologi kes yang dikongsikan oleh SUARAM, Hidayat telah ditahan pada pagi 8 Oktober oleh Bahagian Narkotik IPD Pekan di rumahnya.

“Hidayat dilaporkan meninggal dunia kurang 48 jam dari masa beliau ditahan. Ia satu perkara yang dilihat amat memeranjatkan dan mencurigakan keluarga mangsa,

“Kami difahamkan bahawa mangsa ditahan dibawah Seksyen 15(1) Akta Dadah berbahaya,” kata memorandum tersebut.

Menurutnya, kematian Hidayat menjadi tanda tanya kerana beliau tidak mempunyai sebarang latar belakang kesihatan dan berada dalam keadaan sihat semasa ditahan.

“Keluarga telah dimaklumkan bahawa sebelum Hidayat meninggal dunia, beliau telah mengalami muntah-muntah dan diberikan panadol oleh pihak polis,

“Ketua Jabatan Forensik Hospital Tangku Ampuan Afzan, Dr Sri Marni menyatakan punca kematian mangsa adalah berpunca daripada saluran darah yang tidak normal pecah (Sponteneous Intracranial Bleed),

“Beliau turut mengesahkan ianya akibat daripada serangan strok,” kata kenyataan itu.

Jelasnya, perkara ini membuat ahli keluarga menjadi ragu-ragu dengan keadaan mangsa sebelum meninggal dunia.

“Seseorang menghadapi serangan atau gejala strok akan menjadi lemah selama beberapa jam sebelum meninggal dunia,

“Persoalannya mengapa mangsa tidak diberikan rawatan segera sehingga menyebabkan komplikasi yang lebih parah,” katanya.

Menurut SUARAM, kematian Hidayat merupakan insiden kematian dalam tahanan polis yang ke-12  yang direkodkan oleh pihaknya.

Memorandum diserahkan kepada Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Lok Yim Pheng. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!