BUTTERWORTH, 1 Nov – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus memperkasakan latihan dengan melaksanakan misi Combat Search and Rescue (CSAR) dalam Eksesais Paradise siri 8/21 yang memasuki hari ke-10, kelmarin.
TUDM menerusi hantaran di media sosial rasminya berkata, latihan yang melibatkan helikopter EC 725 AP dari No.10 Skuadron menjadi platform utama bagi Pasukan Khas Udara (PASKAU) dalam melaksanakan misi CSAR.
“Latihan melibatkan operasi menyelamatkan juruterbang atau anak kapal yang terperangkap di dalam kawasan musuh mahupun berdekatan sempadan yang dikuasai oleh musuh akibat pesawat terhempas ketika berlaku peperangan atau konflik,
“Siri latihan ini dilaksanakan di dalam Eksesais Paradise Siri 8/2021 bertujuan untuk menguji kemampuan, kecekapan dan kesiagaan semua elemen-elemen CSAR semasa pertempuran sebenar dan juga situasi aman bagi anggota PASKAU dan anak kapal helikopter EC 725 AP,” menurut hantaran itu.
Eksesais Paradise siri 8/21 dilaksanakan bermula 22 Oktober hingga 2 Novermber 2021 bertujuan bagi memastikan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan sentiasa berada di tahap terbaik khususnya dalam melindungi kedaulatan ruang udara negara. -airtimes.my