Home Pertahanan dan Keselamatan Program Jiwa Murni diperluas selari aspirasi Keluarga Malaysia

Program Jiwa Murni diperluas selari aspirasi Keluarga Malaysia

by Nurulhuda

KLUANG, 31 Okt – Projek Jiwa Murni (PJM) oleh Kementerian Pertahanan akan diperluas dari semasa ke semasa selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang diperkenal Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, walaupun aspek keselamatan dan pertahanan negara sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi, tanggungjawab sosial serta peranan kepada masyarakat tidak pernah diabaikan.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan akan sentiasa meneruskan tanggungjawab kepada masyarakat seperti kementerian-kementerian yang lain dan ia sekaligus akan mendekatkan hubungan anggota dengan masyarakat awam.

“Pendekatan Keluarga Malaysia seperti ini akan dapat mendekatkan anggota kita dengan masyarakat awam dan ia merupakan satu inisiatif yang saya komited untuk terjemahkan dan realisasikannya,” katanya selepas melakukan Lawatan Kerja ke PJM di Kampung Sri Tambak, pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri atuk Zamrose Mohd Zain.

Hishammuddin berkata, PJM yang dilaksanakan ini bertujuan untuk membantu meringankan beban golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan.

“Meninjau perkembangan PJM Kementerian Pertahanan bagi tahun 2021 juga merupakan salah satu inisiatif saya sebagai Menteri Kanan Pertahanan di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari,

“Tahun ini, sebanyak 107 PJM telah dilaksanakan di seluruh negara dengan kos RM1.68 juta melibatkan kerja pembinaan baharu, baik pulih dan selenggara termasuk kediaman individu awam, veteran ATM serta bangunan komuniti masyarakat setempat,” tambahnya.

Sementara itu, pemilik kediaman, Juriah Amat Saat (81), menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana terpilih untuk menjadi penerima manfaaat program ini.

Tentera Darat Malaysia (TDM) berkata, kediaman Puan Juriah merupakan salah sebuah daripada 15 buah projek baik pulih kediaman dan satu projek bina baru yang berdaftar di bawah PJM Kementerian Pertahanan bagi Negeri Johor yang telah siap dilaksanakan.

“Kerja-kerja membaik pulih kediaman Puan Juriah melibatkan kerja-kerja menukar kerangka bumbung, siling dan juga kerja mengecat,

“Kerja-kerja baik pulih rumah Puan Juriah ini telah dilaksanakan oleh pasukan 8 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (8 Skn RAJD) dan berjaya disiapkan dalam tempoh 3 minggu,

“Kerja yang bermula 20 September lalu, siap sepenuhnya pada 18 Oktober 2021,” tambahnya.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!