KUALA LUMPUR, 30 Okt – Kerajaan mengumumkan RM700 bagi Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah serta RM350 untuk satu juta pesara kerajaan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan khas itu memberikan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion.
Beliau berkata, bantuan khas itu langkah kerajaan bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini.
“Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Tambahnya, dalam menangani krisis COVID-19, ramai penjawat awam terutamanya barisan hadapan tetap komited kepada tugasan dan ada antaranya tidak berpeluang bercuti.
“Bagi mengiktiraf pengorbanan tersebut, sukacita diumumkan gantian cuti rehat dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari,
“Di samping itu, kerajaan juga akan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari,
“Kemudahan ini mengambil kira keperluan penjawat awam seperti menunaikan haji atau membiayai pengajian tinggi anak,” jelasnya.
Semalam, Menteri Kewangan turut mengumumkan sebanyak RM16 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan Malaysia bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan aset utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).-airtimes.my