KUALA LUMPUR, 30 Okt – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan peruntukan pertahanan dalam Bajet 2022 merupakan yang tertinggi semenjak Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9)
Beliau dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya mengulas peruntukan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semalam.
“Peruntukan RM16.14 bilion kepada Kementerian Pertahanan Malaysia merupakan tertinggi semenjak RMK-9.,
“Insya-Allah, ia akan dimanfaatkan sepenuhnya demi memenuhi aspirasi Keluarga Malaysia terutamanya warga Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan Bajet 2022 merupakan satu belanjawan inklusif kepada rakyat.
“Wanita, warga emas, anak muda, semua terima manfaat. Inisiatif pendidikan, pendigitalan dan paling penting, kesihatan diberi keutamaan – amat diperlukan persediaan beralih ke fasa endemik,” ujarnya.
Semalam, Menteri Kewangan mengumumkan sebanyak RM16 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan Malaysia.
“Sebanyak RM1.6 bilion diperuntukkan bagi mempertingkatkan kesiagaan aset utama,
“Ini termasuk RM14 juta untuk menggantikan peralatan utama pasukan khas laut (PASKAL) dan pasukan khas udara (PASKAU),” umum Tengku Zafrul. – airtimes.my