KUALA LUMPUR, 29 Okt – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini memutuskan untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan menggunakan logo PH pada 20 November depan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat yang dilakukan pada hari ini.
“PH telah bermesyuarat, Majlis Presiden dan pimpinan berbincang tentang logo parti. Kami hormat pandangan dari semua pemimpin. Ini keputusan kita untuk Melaka,
“Sebagai ujian permulaan, kita sebulat suara guna logo PH. Seluruh kekuatan PH iaitu Parti Amanah Negara (AMANAH), DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan hanya menonjolkan logo PH,
“Kita berjuang atas satu logo, satu pendirian dan satu manifesto di peringkat negeri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR, pada Jumaat.
Beliau juga berkata, pandangan daripada parti terbaru dalam gabungan itu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut diambil kira.
Turut hadir, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.
PRN Melaka ditetapkan pada 20 Nov dengan pengundian awal 16 Nov, manakala hari penamaan calon 8 Nov.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 5 Okt selepas empat ADUN termasuk bekas Ketua Menteri, Idris Haron menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menyebabkan kerajaan negeri pimpinannya hilang sokongan majoriti.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Kerajaan negeri terdahulu mempunyai 17 kerusi dan 11 lagi milik pembangkang.
Dalam masa yang sama, Anwar menjelaskan, PH telah memutuskan kerusi yang akan bertanding di Malaka.
“Hasil rundingan itu, jumlah yang akan ditandingi ialah, DAP kekal 8 kerusi, AMANAH – 9 calon dan PKR bertanding 11 kerusi,” tambahnya. -airtimes.my