WASHINGTON, 28 Okt – Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (US DOD) hari ini mengesahkan pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan wakil Turki bagi mengadakan perbincangan berhubung penyingkiran Ankara dari program F-35.
Pihak US DOD dalam satu kenyataan berkata, pertemuan antara kedua-dua pihak telah diadakan pada 27 Oktober.
“Perbincangan yang dilakukan adalah menyentuh beberapa isu yang perlu diselesaikan berikutan penyingkiran Turki dari program F-35,
“Delegasi Turki adalah melibatkan wakil kementerian pertahanan negara itu,” katanya.
Jelas US DOD, pertemuan antara kedua-dua pihak akan diteruskan dalam beberapa bulan akan datang.
Turki telah disingkirkan dari program pembangunan jet pejuang generasi ke-5, F-35. Penyingkiran dilakukan oleh Washington berikutan Ankara berkeras untuk meneruskan perolehan sistem pertahanan udara S-400 Triumf dari Rusia.
Pada minggu lalu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan mendedahkan Washington telah menawarkan sejumlah jet pejuang F-16 kepada Ankara. Tawaran tersebut adalah sebagai alternatif ganti rugi kepada pelaburan Turki dalam program F-35.
Turki telah melaksanakan langkah dan prosedur awal perolehan jet pejuang F-16 dari Washington pada awal minggu ini. Namun begitu, peroleh jet pejuang tersebut telah mendapat bantahan dari pihak Senat AS yang mahukan tawaran tersebut ditarik balik.
Sementara itu, Ankara turut mempertimbangkan perolehan jet pejuang Sukhoi Su-35 dan Su-57 dari Rusia sekiranya perolehan F-16 dari Washington gagal. – airtimes.my