KUALA LUMPUR, 27 Okt – Vietnam sedang melaksanakan kerja penambakan dan pembinaan struktur di salah sebuah terumbu Kepulauan Spratlys di Laut China Selatan.
Difahamkan kerja penambakan adalah menambah keluasan Terumbu Pearson (Pearson Reef) yang diduduki oleh Vietnam semenjak tahun 1978.
Menurut laporan Radio Free Asian (RFA), kesan penambakan baharu dapat dilihat secara jelas pada imej satelit komersil.
“Vietnam sebelum ini telah menambak seluas 6 ekar tanah di kawasan tersebut. Perubahan jelas kelihatan melalui perbandingan imej satelit,” kata laporan itu.
Tambahnya, imej satelit menunjukkan beberapa buah kapal sedang berlabuh berhampiran di kawasan terumbu tersebut. Dipercayai ianya merupakan kapal logistik dan bekalan.
“Imej satelit jelas menunjukkan baj sedang berlabuh dan kelihatan kesan air keruh di kawasan berhampiran,
“Berkemungkinan besar mereka telah membawa masuk jentera dan pasir untuk melakukan kerja penambakan di bahagian selatan Terumbu Pearson,” kata Greg Poling, Pengarah Asia Maritime Transparency Initiative at the Center for Strategic and International Studies (AMTI) yang dipetik oleh RFA.
Menurut beliau, Terumbu Pearson pernah ditambak sebelum tahun 2014.
Pihak AMTI turut menyatakan Vietnam telah melakukan penambakan di beberapa lokasi fitur lau yang diduduki oleh mereka di kawasan Laut China Selatan.
Sementara itu, Ca Vu Thanh, bekas pengarah Institut Lautan dan Kepulauan Vietnam menegaskan negaranya mempunyai bukti kedaulatan yang kukuh di kawasan yang diduduki di Kepulauan Spratly serta Paracel.
“Mengenai penambakan di beberapa fitur di Kepulauan Spratly, Vietnam menegaskan mereka sentiasa mematuhi Deklarasi Tatakelakuan untuk Laut China Selatan (Conduct of Parties in the South China Sea),
“Ia turut mematuhi perjanjian yang dipersetujui secara bersama dengan China serta negara ASEAN lain,” kata Ca dalam laporan RFA.
Beliau menegaskan kerja-kerja penambakan lazimnya untuk menghalang sebarang hakisan. Ianya bukan bertujuan untuk mengubah mahupun mengubah struktur fitur laut yang diduduki oleh Vietnam.
Terumbu Pearson merupakan salah satu daripada fitur laut yang menjadi rebutan negara-negara pesisir termasuk China di kawasan Laut China Selatan. Ianya merupakan salah satu daripada 29 fitur laut diduduki oleh Vietnam di kawasan perairan itu.
Terumbu ini berkedudukan 95.4 batu nautika (177 kilometer) dari Terumbu Layang-layang. – airtimes.my