MOSKOW, 27 Okt – Tentera Rusia telah berjaya merampas semula kapal pengangkut kargo yang ditawan oleh lanun di Teluk Guinea, Isnin lalu.
Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan kapal malang tersebut, Lucia telah memberikan isyarat kecemasan semasa dalam perjalanan dari Togo ke Cameroon.
“Selepas menerima isyarat kecemasan dari biro anti-pelanunan antarabangsa, kapal pembinasa VICE-ADMIRAL KULAKOV telah menghantar sebuah helikopter untuk mengejar Lucia,
“Operasi dilancarkan dalam keadaan cuaca ribut dan kapal tersebut berada sejauh 80 kilometer dari Vice-Admiral Kulakov,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, kehadiran helikopter tentera Rusia telah menyebabkan lanun yang sedang menyerang kapal kargo terbabit untuk bergegas meninggalkan Lucia.
“Selepas menyedari kehadiran helikopter, 8 orang lanun telah lari ke bot mereka dan beredar dalam keadaan tergesa-gesa dari Lucia,
“Operasi diteruskan dengan merapatkan kedudukan kapal Vice-Admiral Kulakov dengan kapal kargo tersebut yang memakan masa selama 2 jam setengah,” jelasnya.
Semasa menaiki Lucia, anggota marin Rusia telah melakukan pemeriksaan selama sejam setengah dan kemudiannya membebaskan 22 anak kapal Lucia.
“Kesemua anak kapal dilaporkan selamat kerana mereka telah berjaya menyembunyikan diri di bilik khas,
“Operasi pembebasan dilaksanakan mengikut prosedur yang telah ditetapkan bagi memastikan tiada lanun yang bersembunyi di atas kapal kargo terbabit,” kata kenyataan itu.
Menurutnya lagi, Lucia kini diiringi oleh Tentera Laut Rusia bagi mengelakkan sebarang serangan baharu di masa hadapan. – airtimes.my