SEMPORNA, 27 Okt – Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna telah menahan dan mengusir sebuah perahu yang membawa 6 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina termasuk seorang kanak-kanak di perairan Pulau Siamil, pada Selasa.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintenden Polis (DSP) Mohamad Ismail berkata, kesemua mereka ditahan kerana tidak mempunyai sebarang pas perjalanan yang sah dari Sitangkai Filipina dan telah memasuki perairan Malaysia.
“Pada jam 9.50 pagi, bot tempur PPM Semporna menjalankan rondaan di perairan Pulau Siamil telah menahan dan memeriksa sebuah perahu tanpa nombor pendaftaran,
“Hasil pemeriksaan perahu tersebut terdapat 5 orang lelaki dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan dewasa berbangsa Bajau Filipina,
“Perahu tersebut dijuragani oleh lelaki berumur lingkungan 40 tahun yang juga berbangsa Bajau Filipina,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mohamad berkata, pengusiran telah dibuat dan perahu tersebut telah di iring keluar dari perairan negara.
“Perahu tersebut juga diingatkan agar tidak memasuki perairan negara lagi selaras dengan kehendak undang-undang Akta Hak Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak COVID 19,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Mohamad berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke pasukan keselamatan. -airtimes.my