KUALA LUMPUR, 26 Okt – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Ketua Pengarah JIM, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya telah menerima maklumat dan pertanyaan berkenaan ejen serta pihak ketiga untuk menawarkan perkhidmatan menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi PATI kepada majikan yang ingin menggaji PATI dan kepada PATI yang ingin pulang ke negara asal.
“Ada diantara agen atau pihak ketiga yang berselindung disebalik nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat pemebekal tenaga kerja dengan mengenakan jumlah bayaran tertentu,
“Setiap mereka yang menjadi ajen dan pihak ketiga akan mengumpan majikan untuk menggunakan perkhidmatan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Khairul menasihatkan orang ramai supaya berurusan terus dengan JIM dan sentiasa mengikuti perkembangan serta pengumuman terkini tentang Program Rekalibrasi.
“Jabatan ini sentiasa membuat pengumuman dari semasa ke semasa dan orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung program ini boleh membuat pertanyaan melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO) yang boleh dicapai di pautan www.imi.gov.my ,” ujarnya. –airtimes.my