LUMUT, 25 Okt – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melaksanakan Mine Countermeasure Exercise dan Diving Exercise (MCMEX DIVEX 2021) bagi menguji serta menilai kesiagaan Markas Selam serta Peperangan Periuk Api (Mk SPPA) di peringkat taktikal.
TLDM menerusi hantaran di media sosial rasminya berkata, eksesais ini dilaksanakan untuk menguji kesiagaan markas di peringkat operasi dan keupayaan dimensi Peperangan Periuk Api (PPA).
Selain itu, ia juga dapat menguji kesiagaan dan kemampuan aset pertahanan negara dalam mempertahankan kedaulatan tanah air pada sebilang masa.
“Eksesais ini telah berlangsung selama 9 hari mulai 14 sehingga 22 Oktober 21,
“Pelaksanaan eksesais ini telah dibahagikan kepada 3 fasa utama meliputi fasa pelabuhan mulai 14 hingga 18 Oktober 21 dan disusuli oleh fasa laut di perairan Selat Melaka merangkumi kawasan sekitar Kepulauan Sembilan dan Pulau Pangkor pada 19 hingga 21 Oktober 21,” jelas TLDM.
Menurutnya, eksesais pada kali ini telah disertai oleh kapal dari Skuadron Penangkis Periuk Api ke-26 (SPP ke-26) yang merangkumi KD MAHAMIRU, KD JERAI dan KD KD KINABALU.
“Selain itu, latihan ini turut melibatkan anggota Pasukan Selam TLDM dan disokong oleh sebuah pesawat FENNEC serta FCB TLDM,” ujarnya.
Tambahnya, pelbagai siri latihan telah berjaya direalisasikan sepanjang eksesais berlangsung meliputi latihan Penyapuan Periuk Api oleh kapal SPP Ke-26 serta latihan Shallow Water MCM (SWMCM) dan Beach Clearance oleh Pasukan Selam TLDM.
“Sebagai nilai tambah, beberapa siri latihan navigasi, komunikasi dan llmu kelautan juga telah dilaksanakan sepanjang fasa ini berlangsung,
“Kemuncak eksesais ini diakhiri menerusi fasa penutup yang telah dilaksanakan beberapa aktiviti perbincangan selesai eksesais termasuk Majlis Penutup eksesais yang telah disempurnakan oleh Panglima Selam dan Peperangan Periuk Api, Laksmnaa Abdullah Sani, pada Khamis lalu,” ujarnya. -airitmes.my