Home Politik Taliban, Pandora Papers dan Undi18 fokus sidang Dewan Rakyat hari ini

Taliban, Pandora Papers dan Undi18 fokus sidang Dewan Rakyat hari ini

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Tindakan kerajaan dalam isu pendedahan Pandora Papers adalah antara isu yang akan dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang dikeluarkan oleh Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajukan soalan kepada Perdana Menteri berhubung kesediaan Kerajaan berikutan pendedahan Pandora Papers yang melibatkan beberapa anggota pentadbiran dan Ahli Dewan Rakyat serta bekas anggota pentadbiran negara.

“Ini bagi memastikan kredibiliti dan integriti pentadbiran negara terpelihara. Apakah pemantauan terhadap transaksi wang keluar negara secara haram serta nilai wang haram yang telah dikeluarkan sejak 2008 hingga kini,” kata Anwar dalam soalannya.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah meminta Perdana Menteri menyatakan libat urus golongan belia dalam memperkasa Akademi Pilihan Raya selaras dengan pelaksanaan Undi18.

Turut tersenarai dalam aturan tersebut adalah soalan oleh Lim Guan Eng kepada Menteri Luar Negeri berhubung pendirian Malaysia terhadap Afghanistan selepas dikuasai semula oleh Taliban.

“Adakah hubungan diplomatik tertakluk kepada syarat hak asasi wanita tidak dicabuli di Afghanistan, khususnya dalam peluang pendidikan dan pekerjaan serta penglibatan dalam pentadbiran,” katanya.

Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas (2021) disambung semula pada hari ini selepas kali terakhir bersidang pada 12 Oktober lalu.

Pada 29 Oktober, Belanjawan 2022 akan dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sesi mesyuarat ini akan tamat pada 16 Disember. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!