Home Semasa Larangan aktiviti sosial dan perhimpunan hanya berkaitan PRN Melaka – Hishammuddin

Larangan aktiviti sosial dan perhimpunan hanya berkaitan PRN Melaka – Hishammuddin

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan larangan perhimpunan dan majlis sosial yang dilarang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah terhad kepada aktiviti berkaitan Pilihanraya Negeri Melaka.

Beliau dalam akaun media sosial rasminya menjawab persoalan yang diajukan oleh netizen selepas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan larangan tersebut, semalam.

“Hanya aktiviti, majlis sosial atau perhimpunan  yang berkaitan dengan PRN Melaka adalah dilarang,

“Ini termasuklah Majlis Pelancaran Jentera,” katanya yang turut menjelaskan larangan tersebut berkuatkuasa mulai hari ini.

Hishammuddin menegaskan ancaman wabak pandemik COVID-19 masih belum berakhir.

“Mereka yang ingkar akan dikenakan tindakan di bawah Akta 342 termasuk kompaun dan pendakwaan di mahkamah,” tegasnya.

Pada masa yang sama, Hishammuddin turut menjelaskan aktiviti sosial yang tidak berkaitan dengan PRN Melaka seperti majlis perkahwinan masih boleh diteruskan.

“Majlis perkahwinan boleh diteruskan, tetapi sila patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya semasa menjawab soalan di akaun Twitter rasminya.

Semalam, Menteri Kesihatan mengumumkan larangan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan Pilihan Raya Negeri Melaka bermula 25 Oktober hingga 27 November.

“Sebarang perhimpunan atau majlis sosial yang dianjurkan tanpa mematuhi SOP termasuk penjarakan fizikal yang sukar diamalkan akan meningkatkan risiko penularan jangkitan COVID-19,

“Susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November, KKM menjangkakan banyak perhimpunan serta majlis sosial berkaitan dengan pilihan raya yang akan diadakan membabitkan ramai individu berkumpul (mass gathering) dari seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Khairy menegaskan risiko penularan jangkitan COVID-19 masih tinggi terutamanya dengan penularan varian Delta serta peningkatan kes  baharu.

PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November ini selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober.

Melaka merupakan antara negeri yang tersenarai dalam Fasa 4 PPN berkuatkuasa 18 Oktober lalu. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!