KUALA LUMPUR, 25 Okt – Kerajaan hari ini membentangkan usul mengungkai ordinan-ordinan darurat bagi dibahas ahli Parlimen dan digulung oleh kementerian berkaitan di Dewan Rakyat.
Usul berkenaan dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Sebanyak 7 ordinan akan diungkaikan, meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.
“Selain itu, ia turut meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021; dan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021,” katanya ketika membentangkan usul itu di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, Proklamasi Darurat dilaksana untuk membolehkan ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu dalam mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak Covid-19 dengan lebih serius di negara ini.
Ini kerana katanya gelombang ketiga wabak COVID-19 yang melanda negara bermula September 2020 menunjukkan peningkatan kes positif dan jumlah kematian naik begitu mendadak.
“Sehingga 24 Oktober 2021 jumlah kes keseluruhan (Total Confirmed Cases) dengan izin, adalah seramai 2,426,050 kes. Jumlah kes aktif adalah seramai 77,305 kes dan jumlah kematian adalah seramai 28,354 kes,
“Sepanjang tempoh tersebut, 3 platform telah ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan pengurusan Darurat, serta Ordinannya iaitu – Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN); Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat; dan Kumpulan-kumpulan Kerja Pengurusan Darurat,” tambahnya.
Antara Ordinan yang dibentang untuk diungkaikan ialah – Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021; dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.
Turut dibentangkan ialah – Ordinan berkaitan pengekangan berita palsu; tatacara perbelanjaan wang Kerajaan; serta pengurusan dan penggunaan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).
Berkaitan Proklamasi Darurat, Wan Junaidi berkata, perintah itu diwartakan pada 14 Januari 2021 tetapi berkuat kuasa pada 11 Januari 2021, dan terpakai kepada semua kerajaan negeri sebagaimana ia terpakai kepada Kerajaan Persekutuan.
“Tujuan utama penggubalan bekenaan adalah bagi memperkasakan sektor kesihatan awam, pengurusan sumber kerajaan dan memperkasakan penguatkuasaan,
“Dalam langkah memperkasakan sektor kesihatan pula, pengamal perubatan swasta telah dilantik bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melaksanakan perintah pemerhatian dan pengawasan ke atas kes positif COVID-19 kategori 1 dan 2 yang didiagnos,
“Selain itu, ia juga membolehkan pengambilmilikan sementara tanah, bangunan dan harta alih telah dibuat untuk menempatkan dan menguruskan pesakit positif COVID-19 dan pesakit selain pesakit positif COVID-19,” jelasnya.
Manakala bagi tujuan penguatkuasaan, Wan Junaidi berkata, kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diturunkan kepada Angkatan Tentera Malaysia, melalui surat yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri.
“Ia memberi pengkhususan kepada dua tugas utama, iaitu Operasi Benteng (Op Bentang) yang membawa maksud pencegahan PATI atau apa-apa kesalahan melibatkan PATI; dan Operasi COVID, bagi melaksanakan pencegahan COVID-19 di mana-mana tempat operasi yang ditentukan,” katanya.
Jelasnya, kerajaan akan memastikan pengungkaian ketujuh-tujuh ordinan ini tidak akan menjejaskan pengawalan ancaman pandemik demi kesejahteraan rakyat, keselamatan dan ketenteraman awam serta pemulihan ekonomi negara. -airtimes.my