Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan kapal kargo Marshall Island, berlabuh tanpa kebenaran

APMM tahan kapal kargo Marshall Island, berlabuh tanpa kebenaran

by Air Times News Network

KOTA TINGGI,  25 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menerusi Operasi Jangkar Haram (Op Jangkar Haram) telah menahan sebuah kapal kargo kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, semalam.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal kargo yang didaftarkan di bawah Marshall Islands itu telah ditahan pada jam 11.03 pagi di kedudukan 10 batu nautika timur laut Tanjung Penawar.

“Kapal kargo pukal itu dikendalikan oleh 22 kru warga Ukraine, Russia, Filipina dan Sri Lanka berumur 20 hingga 61 tahun serta mempunyai pengenalan diri yang sah,” ujarnya.

Nurul Hizam berkata, hasil pemeriksaan, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Menurutnya, kapal dan kesemua kru yang ditahan, disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

“APMM akan sentiasa memastikan perairan negeri Johor sentiasa terpelihara dari sebarang unsur jenayah yang melanggar undang-undang,” jelasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!