KUDAT, 24 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara dan menjarah hasil laut di Pulau Tigabu Pitas, kelmarin.
Pengarah Zon APMM Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, bot tersebut dikesan pada pukul 8 pagi semasa bot peronda APMM sedang melaksanakan rondaan di perairan Kudat.
“Berdasarkan struktur fizikal, bot terbabit adalah bot nelayan Vietnam dan terus melakukan pemintasan bagi tujuan pemeriksaan,
“Bot terbabit ditahan pada jarak sekitar 7 batu nautika timur laut dari Pulau Tigabu Pitas,
“Bot tanpa sebarang nombor pendaftaran itu dikendalikan oleh 7 orang kru termasuk tekong warga Vietnam,” katanya dalam hantaran di media sosial milik APMM.
Menurutnya, kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 35 hingga 50 tahun bersama 3,000 liter bekalan diesel.
“Hasil gamat serta peralatan menangkuk gamat turut dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Kudat untuk siasatan lanjut,
“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM500,000.00,” ujarnya
Tambahnya lagi, bot terbabit menggunakan sebuah peralatan yang direka khas untuk menjarah gamat diperbuat daripada besi yang sangat berat dan ianya mampu memecahkan batu-batu karang di dasar laut ketika ditunda.
“Ianya merupakan peralatan yang tidak dibenarkan serta tidak digunakan oleh nelayan-nelayan tempatan,
“Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah,
“Jika sabit kesalahan, tekong boleh dikenakan denda sebanyak RM6 juta manakala kru atau awak-awak sebanyak RM600 ribu setiap seorang serta bot yang disita boleh dilucut hak,” jelasnya. -airtimes.my