WANGSA MAJU, 21 Okt – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menggempur tapak pembinaan yang terletak di Sri Rampai, semalam.
Operasi Bersepadu (Op Bersepadu) yang dijalankan oleh JIM Putrajaya serta kerjasama diantara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), telah memeriksa seramai 254 pekerja asing.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas pekerja binaan warga asing, seramai 213 warga asing terdiri daripada 210 lelaki dan tiga wanita, telah ditahan serta didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen,
“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 172 warga Bangladesh, Indonesia (20), Pakistan (10), Vietnam(enam), India (tiga) dan dua warga Myanmar,
“Antara kesalahan yang dilakukan dibawah Seksyen 6 (1)(c); Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 serta Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen,” katanya dalam hantaran di media sosial rasmi JIM, malam tadi.
Menurutnya, kesemua pekerja warga asing yang terlibat dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya bagi tujuan proses dokumentasi.