Home Semasa Jenazah Mohd Diya selamat dikebumi

Jenazah Mohd Diya selamat dikebumi

by Nurulhuda

MELAKA, 21 Okt – Jenazah anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah yang lemas dibawa arus deras petang semalam, selamat dikebumikan, hari ini.

Jenazah Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Diya Che Jusoh, 46, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Krubong, pada jam 11.50 pagi.

Terdahulu, jenazah mangsa dimandi dan disembahyangkan di Masjid An-Nur Krubong sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Urusan pengebumian jenazah Allahyarham dilaksanakan dengan istiadat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan dihadiri kira-kira 200 anggota serta penduduk kampung untuk memberi penghormatan terakhir.

Mohd. Diya, 46, menghembuskan nafas terakhir, pukul 3.11 pagi tadi ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka.

Semalam, sekitar jam 4 petang, Mohd Diya dipercayai lemas apabila tergelincir sebelum ditolak arus deras ketika sedang memasang tali di kawasan banjir bagi menyelamatkan 14 mangsa yang terperangkap di anjung sebuah rumah.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menzahirkan salam takziah di atas kejadian yang menimpa Allahyarham.

“Saya mendapat perkhabaran mendukacitakan tentang seorang anggota bomba Mohd Diya Che Jusoh, yang meninggal dunia awal pagi ini,

“Allahyarham terlibat membantu mangsa banjir di Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka semalam.
Takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Diya serta seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka,

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” tulisnya dalam hantaran di media sosialnya, pada Khamis. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!