Home Pertahanan dan Keselamatan CDOC sentiasa pantau ancaman siber ke atas rangkaian Kementerian Pertahanan, ATM

CDOC sentiasa pantau ancaman siber ke atas rangkaian Kementerian Pertahanan, ATM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkemampuan untuk memantau secara berterusan ancaman siber ke atas rangkaian Kementerian Pertahanan dan ATM.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, CDOC ditubuhkan sejak Oktober 2016 untuk melaksanakan operasi mengesan, menangkis, melindungi sistem dan rangkaian ICT Kementerian Pertahanan serta ATM.

“Pusat operasi ini juga merupakan one-stop center bagi mengendalikan mitigasi terhadap kes-kes insiden keselamatan siber yang dikesan serta memastikan objektif sistem maklumat iaitu kerahsiaan (confidentiality), integriti (integrity) dan ketersediaan (availability) dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan di Dewan Negara Mesyuarat Pertama 2021, Penggal Keempat Parlimen ke-14 oleh Senator Datuk Jefridin Atan, semalam.

Senator Datuk Jefridin Atan minta Menteri Kanan Pertahanan menyatakan bagaimanakah kementerian menangani insiden ancaman siber yang melibatkan keselamatan kementerian yang boleh menimbulkan kebimbangan terhadap perancangan dan pengalaman pertahanan negara.

“Sistem pemantauan ini mampu memberi amaran awal terhadap kemungkinan serangan dan seterusnya melaksanakan tindakan pencegahan awal,

“Aset-aset pertahanan negara berteknologi tinggi yang digunapakai oleh ATM secara asasnya dihubungkan dengan rangkaian dan sistem yang dipantau oleh CDOC,

“Ini bagi memastikan ruang siber Kementerian Pertahanan dan ATM sentiasa selamat dan dilindungi daripada sebarang anasir-anasir yang mencabar kedaulatan negara,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!