Johor Bahru, 20 Okt – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menolak dakwaan lelaki warganegara Malaysia yang dilaporkan menyeludup dadah ke Australia sebagai keldai dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, ia berikutan suspek berusia 38 tahun itu sudah memasuki Australia sejak tahun lalu lagi.
“Untuk maklumat lelaki yang ditahan di Australia itu memasuki negara itu pada Januari 2020,
“Oleh itu, kita boleh menolak bahawa dia keldai dadah kerana masuk Australia sejak tahun lalu,
“Kalau keldai dadah, modus operandinya akan bawa dadah khususnya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menggunakan kapal terbang, turun di lapangan terbang sebelum ditahan, namun lelaki itu sudah berada setahun di Australia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Sebelum ini media melaporkan pihak berkuasa Australia menahan warga Malaysia kerana cuba menyeludup masuk 450 kg dadah jenis heroin bernilai RM431.8 juta ke negara itu.
Dadah itu ditemui dalam kontena yang membawa jubin dari Malaysia ke Melbourne dan lelaki tersebut telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melbourne pada Jumaat lalu. -airtimes.my