Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat, OUM komited tingkat taraf akademik pegawai dan anggota

Tentera Darat, OUM komited tingkat taraf akademik pegawai dan anggota

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan terus berusaha untuk meningkatkan taraf akademik pegawai dan anggota agar ia sejajar dengan pengetahuan serta keperluan semasa.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain menjelaskan, pembangunan program akademik sebegini juga adalah selaras untuk pelestarian kesejahteraan warga TDM, agar lebih komprehensif dan dinamik.

Zamrose berkata, TDM turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Open University Malaysia (OUM) di atas kerjasama berkolaborasi bagi membuka peluang pengajian ke peringkat lebih tinggi untuk warga TDM.

“Kerjasama hari ini adalah bagi program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat Dengan Kepujian untuk Kursus Foreman dan Yoeman Rejimen Semboyan Diraja (RSD) tahun 2021 sehingga 2023,

“TDM sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak awam dan swasta demi pembangunan kesejahteraan warga TDM,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman di antara TDM dan OUM di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, hari ini.

Menurutnya, kolaborasi TDM melalui RSD bersama OUM ini telah bermula sejak tahun 2004 melalui program Diploma Teknologi Maklumat untuk Kursus Foreman dan Yoeman sebulan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Open University Malaysia (OUM) di atas kerjasama berkolaborasi bagi membuka peluang pengajian ke peringkat lebih tinggi untuk warga Tentera Darat Malaysia.

“Bermula tahun 2004 sehingga 2019 sebanyak 6 memorandum persefahaman telah dipersetujui di mana telah melahirkan seramai 460 orang anggota graduan di dalam RSD yang menjurus kepada bidang teknologi maklumat,

“Dalam usaha memastikan urusan sumber manusia dan pembangunan kerjaya anggota Lain-Lain Pangkat (LLP), TDM telah meneruskan kesinambungan kerjasama bersama OUM dari Program Diploma ke Program Sarjana Muda,

“Kerjasama ini menyediakan peluang untuk mengiktiraf kelayakkan akademik anggota LLP RSD yang sedia ada memiliki diploma kejuteraan ke peringkat yang lebih tinggi bagi pembangunan modal insan yang cemerlang,

“Program Sarjana Muda ini adalah sebagai satu loncatan yang melayakkan anggota LLP RSD untuk seterusnya ditauliahkan sebagai pegawai dalam Senarai Tugas-Tugas Khas (STK),

“Ini merupakan pelan penambahbaikkan Skim Perkhidmatan ATM yang bermula pada tahun 2013, bagi membolehkan setiap anggota meningkatkan peluang dan memajukan diri dalam kerjaya,” tambahnya.

Selain pengetahuan dan berkemahiran tinggi sesuai keperluan semasa, kerjasama ini juga merupakan salah satu inisiatif TDM melahirkan anggota yang kompeten dalam menguasai domain teknologi maklumat dan siber.

 

“Ia juga seiring dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat yang menekankan usaha untuk memperkasa keutuhan organisasi dengan memastikan warga TDM yang mempunyai ilmu kepakaran tinggi,” jelasnya.

Menurutnya, ketika ini seramai 20 penuntut sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat yang bermula sejak 20 September sehingga 31 Disember 2022.

Pengerusi Lembaga Gabenor Open University Malaysia (OUM), Tan Sri Lee Lam Thye hadir dalam Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman di antara Tentera Darat Malaysia dan OUM di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, hari ini.

“Kursus ini berlangsung selama 32 bulan yang dilaksanakan di dalam 2 Fasa iaitu Semester Lazim (16 bulan) dan Semester Lanjutan (16 bulan),

“Jangka masa perjanjian program ini adalah selama 5 tahun bermula 1 September 2021 dan akan berakhir pada 31 Ogos 2026,

“Program ini juga merupakan program yang pertama dilaksanakan di peringkat Ijazah Sarjana Muda khas untuk anggota,” tambahnya.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman; Pengerusi Lembaga Gabenor OUM, Tan Sri Lee Lam Thye dan Naib Presiden (Akademik) OUM, Prof Dr. Widad Othman serta Pegawai-Pegawai Kanan TDM.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!