Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: 21 kru warga Indonesia cuba rentas perairan negara ditahan

Op Benteng: 21 kru warga Indonesia cuba rentas perairan negara ditahan

by Nurulhuda

LUMUT, 18 Okt – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Perak telah menahan sebuah bot tradisional Indonesia yang tiada nombor pendaftaran di kedudukan 15.5 batu nautika barat laut Kepulauan Sembilan pada Sabtu lalu.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan in Raman berkata, bot PERKASA 1223 yang sedang melaksanakan rutin rondaan telah dikerahkan ke lokasi serta merta sejurus menerima makluman aduan berkenaan.

Menurutnya, maklumat diterima di Pusat Operasi APMM Perak bahawa bot berkenaan mengalami kerosakan di posisi berkenaan, namun hasil pemeriksaan awal di lokasi mendapati, bot tersebut adalah sebuah bot kayu yang tiada nombor pendaftaran berasal dari Indonesia.

“Seterusnya, anggota PERKASA 1223 telah membuat pemeriksaan rutin ke atas bot kayu itu dan mendapati 21 orang warga Indonesia berada di atas bot terbabit,

“Mereka dipercayai telah menceroboh perairan negara kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dimana mereka terdiri daripada 15 orang lelaki dan 6 orang perempuan,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, bot tradisional Indonesia itu berjaya ditunda menerusi bantuan KM NYALAU dan sebuah bot nelayan tempatan sehingga ke Pusat Tahanan Vesel.

“Kesemua 21 tahanan berumur lingkungan 25 hingga 55 bersama bot tersebut diiring ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu Setiawan Perak bagi siasatan dan tindakan lanjut,

“Jika disabit kesalahan mereka boleh didakwa dibawah Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!