Home Teknologi Pertahanan LG 1 Mk III: Pengganda kuasa tembakan artileri Tentera Darat Malaysia

LG 1 Mk III: Pengganda kuasa tembakan artileri Tentera Darat Malaysia

by M.Daim

Pada 14 Oktober lalu, Tentera Darat Malaysia (TDM) khususnya Rejimen Pertama Artileri Diraja (Para) telah melaksanakan penembakan inaugurasi aset terbaharu mereka, meriam howitzer 105mm LG1 Mk III.

Penembakan inaugurasi atau penembakan perdana ini sekaligus menandakan meriam buatan Perancis ini telah mencapai tahap operasi (operational) dalam ketumbukan TDM serta 1 RAD (Para).

Semasa DSA 2018, NEXTER dan ADS Sdn Bhd telah mengumumkan pemeteraian kontrak pembelian 18 laras meriam ini pada hari terakhir pameran pertahanan itu.

LG1 Mk III merupakan varian terkini meriam 105mm yang dikeluarkan oleh Nexter.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain menyempurnakan penembakan inaugurasi meriam LG1 Mk III.

LG1 merupakan meriam howitzer yang dihasilkan oleh syarikat Perancis, GIAT Industries (kini Nexter). Aspek yang ditekankan dalam rekaan meriam ini adalah beratnya yang ringan berbanding meriam lain, ketahanan dan mudah dikendali.

Ketiga-tiga aspek ini memberikan keunikan dan kelebihan tersendiri kepada LG1. Ia turut diiktiraf sebagai antara meriam yang paling ringan dalam kelasnya.

Designasi LG1 membawa maksud Light Gun – sesuai dengan keupayaan meriam ini untuk dioperasikan di pelbagai muka bumi serta cuaca. Ia direka untuk setanding dengan meriam 105mm yang lain khususnya M101 (M1A2 Howitzer) Amerika Syarikat dan OTO Melara Mod 56 (M56) buatan Itali.

105mm Oto Melara mod 56 buatan Itali merupakan meriam paling lama berkhidmat dalam sejarah Tentera Darat Malaysia.

Pengganda kuasa tembakan Tentera Darat Malaysia

Sejak turun temurun, gelaran Raja Medan Perang (King of Battle) sememangnya sinonim dengan artileri. Sejarah peperangan dan konflik turut merekodkan kekuatan ketumbukan artileri merupakan salah satu faktor utama keupayaan pasukan tentera darat.

Penggunaan artileri semasa pertempuran mungkin agak asing bagi sesetengah masyarakat di Malaysia. Namun, sejarah penggunaan meriam di medan pertempuran bukan sekadar semasa Ops Daulat tetapi ia telah lama bertapak semenjak Kesultanan Melayu Melaka.

Selain daripada itu, kekuatan artileri turut digunakan semasa Darurat Pertama dan Insurgensi pengganas komunis.

Kesan kekuatan artileri secara amnya terbahagi kepada dua aspek iaitu kesan kemusnahan dan kesan psikologi.

Kedua-dua kesan ini dapat dilihat secara jelas di Lahad Datu apabila TDM melancarkan serangan artileri secara serentak dengan serangan udara oleh jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Tentera Laut Diraja Malaysia yang melakukan kepungan di kawasan peraiaran turut dilaporkan melepaskan bedilan terhadap kedudukan musuh.

Asakan sebegini sudah tentu menjadikan garisan Tentera Sulu yang menceroboh tanah air menjadi kucar-kacir kerana terpaksa berundur dari kedudukan asal mereka.

Selain daripada itu, pengalaman 1 RAD untuk mengoperasikan meriam M56 memberikan kelebihan kepada TDM untuk mengoperasikan LG1 Mk III.

Meriam LG1 yang dipamerkan semasa Pameran DSA & NATSEC 2018.

Ini kerana kedua-dua meriam ini direka untuk dioperasikan dalam keadaan pantas. Selain daripada itu, LG1 dan M56 berupaya untuk ditunda oleh kenderaan darat.

Seperti M56, LG1 Mk III berupaya untuk dibawa dengan menggunakan helikopter dan pesawat pengangkut C-130.

LG1 Mk III mempunyai komponen digital bagi meningkatkan kekuatan serta kejituan serangan artileri 1RAD (Para).

LG1, meriam ringan dari Perancis

LG1 dihasilkan pada lewat 1980-an bagi memenuhi keperluan pasukan atur cepat Perancis – Force d’action rapide (FAR).

Bagi memenuhi keperluan tersebut, LG1 mampu untuk diaturgerak melalui jalan darat dan udara. Melalui jalan darat, LG1 lazimnya ditunda oleh kenderaan 4×4.

Untuk jalan udara, helikopter digunakan untuk membawa meriam ini secara ‘underslung’. Selain daripada itu, 4 laras LG1 mampu dimuatkan dalam sebuah pesawat pengangkut C-130.

Dari segi kuasa tembakan, LG1 berupaya untuk menggunakan mana-mana peluru meriam yang memenuhi standard NATO seperti US M1 dan HE ER G3 Nexter Munitions. LG1 berupaya untuk melepaskan tembakan sebanyak 12 das dalam masa 1 minit.

Peluru HE M1 105mm yang digunakan semasa penembakan inaugurasi LG1 Mk III pada Jumaat lalu.

Berdasarkan risalah yang dikeluarkan oleh Nexter, peluru US M1 mempunyai jarak serangan maksimum sejauh 11 kilometer. Serangan sejauh 17 km mampu dicapai dengan menggunakan peluru ER G3 dari Nexter.

Selain daripada itu, meriam ini berupaya untuk melakukan penembakan langsung (direct fire) sejauh 2 kilometer.

Pembangunan Mk II dan Mk III

 Designasi Mk adalah bermaksud “Mark” – menandakan ‘model’, varian atau aras standard pembangunan satu-satu aset.

Pembangunan LG1 Mk II bermula dengan penggunaan laras yang lebih kukuh bagi menahan tekanan tinggi yang dihasilkan semasa penembakan. Selain daripada itu, standard ini juga lebih mudah diselenggara dengan penambahbaikan pada mekanisma sentakan (recoil mechanism).

Perisai (shield) tidak digunakan pada LG1 Mk II bagi mengurangkan berat keseluruhan meriam.

LG1 Mk III merupakan variant digital untuk meriam ini. Ia dipasang dengan sistem bidikan 3-dimensi (3D) dan beberapa komponen lain seperti radar halaju laras (muzzle velocity radar) bagi memastikan serangan dapat dilancarkan dengan tepat.Pembangunan LG1 bakal diteruskan dengan penambahbaikan lain seperti sistem bidikan automatik dan pengisian peluru secara automatik.

Pengoperasian LG1 global

Selain Perancis, meriam ini turut digunakan oleh pasukan tentera di Belgium, Colombia, Indonesia, Kanada, dan Thailand.

Singapura pernah mengoperasikan meriam ini pada tahun 1990-an. Peranan 34 laras LG1 Mk II dalam Tentera Singapura kemudiannya digantikan dengan Singapore Light Weight Howitzer (SLWH) Pegasus buatan ST Kinetics.

Pada tahun 1994, Indonesia telah melakukan pembelian sebanyak 20 LG Mk II bagi kegunaan Korps Marinir TNI-AL.

Kanada turut melakukan pembelian 28 LG1 Mk II pada tahun yang sama. 14 laras dibeli oleh Belgium pada tahun berikutnya.

Pengoperasian 18 laras meriam 105mm LG1 Mk III dalam 1 RAD (Para) akan mempertingkatkan keupayaan Tentera Darat Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia dalam memayungi kedaulatan negara.

Thailand telah mengoperasikan 24 LG1 Mk II semenjak 1996-1997. Pada awal Januari 2021, Nexter telah dianugerahkan oleh Bangkok untuk membekalkan 12 laras LG1 Mk III. Meriam LG1 dioperasikan oleh Tentera Darat Diraja Thailand dan Kor Marin Diraja Thailand.

Colombia merupakan negara pertama untuk menerima LG1 Mk III. Negara Amerika Selatan ini telah mengoperasikan 20 laras LG1 Mk III sejak 2009. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!