KUALA LUMPUR, 18 Okt – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menegaskan kerajaan tidak akan memberikan apa jua kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada golongan anti vaksin.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa sidang media khas di Wisma Pertahanan.
“Jangan mereka (anti vaksin) merasakan hak untuk menidakkan diri sendiri divaksin bermakna bahawa kelonggaran SOP akan diperluaskan kepada mereka,
“Itu kita tak kompromi,” tegasnya.
Beliau menambah, kerajaan tidak mempunyai sebarang niat untuk menganiaya dan menzalimi mana-mana pihak.
Tegasnya, kerajaan sentiasa berusaha untuk mengelak sebarang kesan tidak diingini berlaku di masa hadapan.
“Dalam usaha memerangi pandemik, adalah penting bagi kerajaan untuk berusaha mengelak sebarang mudarat besar,
“Apa yang kita hendak lakukan adalah untuk menjaga kepentingan nyawa orang ramai,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyuarakan kerajaan tidak berkompromi dengan golongan anti vaksin yang mahukan kelonggaran SOP turut diberikan kepada mereka.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan golongan enggan mengambil vaksin hanya menyusahkan diri sendiri kerana tidak dapat menikmati kemudahan yang diberikan kerajaan berbanding mereka yang telah lengkap vaksinasi. – airtimes.my