BEIJING, 18 Okt – Tentera China semalam mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada menghantar kapal perang ke Selat Taiwan minggu lalu yang didakwa boleh mengancam keamanan serta kestabilan di wilayah tersebut.
Menurut laporan Reuters, China mendakwa Taiwan secara demokratik telah memerintah wilayah tersebut dan telah melakukan misi tentera udara berulang kali di ruang Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) tahun lalu, ia sekaligus menimbulkan kemarahan di Taipei.
China telah mengatur gerak kira-kira 150 pesawat ke zon itu dalam tempoh 4 hari bermula pada 1 Oktober lalu, di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara Beijing dan Taipei sehingga mencetuskan kebimbangan di peringkat antarabangsa.
Tentera AS mendakwa kapal pemusnah peluru berpandu kelas Arleigh Burke, USS Dewey berlayar melalui laluan air sempit yang memisahkan Taiwan dengan China, bersama dengan kapal frigat Kanada HMCS Winnipeg pada Khamis dan Jumaat.
“Perlayaran Dewey dan Winnipeg melalui Selat Taiwan menunjukkan komitmen AS dan sekutu serta rakan kami untuk Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka,” kata AS.
Sementara itu, Pusat Arahan Pasukan Timur Tentera Pembebasan Rakyat China berkata, pasukannya memantau kapal dan berjaga-jaga di sepanjang laluan kapal perang tersebut masuk.
“AS dan Kanada berpakat untuk melakukan provokasi bagi mencetuskan masalah sehingga membahayakan keamanan serta kestabilan di Selat Taiwan,
“Taiwan adalah sebahagian wilayah China. Pasukan kami sentiasa berjaga-jaga di tahap yang tinggi dan melawan semua ancaman serta provokasi,” ujarnya.
Kapal tentera laut AS telah melintasi Selat Taiwan pada setiap bulan, sehingga menimbulkan kemarahan Beijing, yang bertindak menuduh Washington sengaja mencetuskan ketegangan wilayah tersebut.
Menurutnya, sekutu AS juga dilihat menghantar kapal melalui selat berkenaan, termasuk Britain pada bulan lalu.
Pada masa sama, Kementerian Pertahanan Taiwan semalam memaklumkan 3 pesawat China iaitu 2 pesawat tempur J-16 dan pesawat anti-kapal selam dilihat melakukan penerbangan dalam kawasan ADIZ.