Home Semasa Isu Kompleks Petronas Sudan: Sila hormati perjanjian dan Konvensyen Vienna – Wisma Putra

Isu Kompleks Petronas Sudan: Sila hormati perjanjian dan Konvensyen Vienna – Wisma Putra

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Kerajaan Sudan digesa untuk hormati perjanjian Khartoum dengan Putrajaya serta Konvensyen Vienna berhubung isu kompleks Petronas di negara Afrika itul.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Malaysia amat khuatir dengan perkembangan isu melibatkan Kompleks Petronas Sudan di Khartoum yang tercetus semenjak Disember 2020.

“Pihak Kementerian Luar berkerjasama rapat dengan Petronas serta Kedutaan Malaysia di Khartoum untuk menangani isu tersebut,” kata kenyataan itu.

Pada masa yang sama, kerajaan gesa Sudan untuk hormati Perjanjian Promosi dan Perlindungan Pelaburan Dua Hala yang diadakan di antara Malaysia dengan negara di rantau Afrika Utara itu.

Tambahnya, kompleks tersebut turut menempatkan Kedutaan Besar Malaysia di Sudan.

“Kerajaan Sudan digesa hormati status Kedutaan Besar Malaysia di kompleks terbabit sebagai entiti diplomatic sebagaimana yang termaktub dalam Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961,” jelas kenyataan itu.

Pihak Wisma Putra turut menjelaskan Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha diplomatik berhubung isu ini bagi menyuarakan kebimbangan serta melindungi kepentingan negara di Sudan.

“Kementerian telah memanggil Kuasa Usaha Sudan ke Wisma Putra pada hari ini bagi menyampaikan suara Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, pertemuan dengan Kuasa Usaha Sudan telah dilakukan sebanyak 2 kali.

Selain daripada itu, Wisma Putra berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik.

“Semua rakyat Malaysia berada di Sudan dalam keadaan selamat,” jelasnya lagi.

Semalam, media tempatan melaporkan kerajaan peralihan Sudan telah mengeluarkan waran tangkap terhadap pengurus Petronas di Sudan.

Khartoum turut memulakan langkah untuk merampas aset Petronas di Sudan kerana mendakwa tanah yang digunakan diperoleh secara haram semasa negara itu di bawah pimpinan Omar al-Bashir.

Petronas menegaskan tanah tersebut diperolehi secara sah mengikut lunas undang-undang. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!