PASIR PUTEH, 12 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan berjaya menahan sebuah bot bersama 6 nelayan Vietnam yang sedang menangguk gamat di perairan Kelantan.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, bot ronda APMM semasa melaksanakan Operasi Naga Barat dan Operasi Damai telah mengesan kehadiran bot nelayan asing berwarna biru pada jam 6.30 petang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Menyedari dirapati bot ronda APMM, bot tersebut cuba melarikan diri menuju ke sempadan perairan Thailand,
“Selepas lebih 30 minit mengejar, anggota geledah daripada bot penguat kuasa berjaya menaiki bot melalui bahagian belakang bot tersebut seterusnya berjaya menghentikan dan menahan kira-kira jam 7.00 petang pada jarak 39.5 batu nautika daripada muara Tok Bali dan lebih kurang 3.1 batu nautika daripada sempadan perairan Thailand,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM, semalam.
Syed Nor Adli berkata, pemeriksaan mendapati, bot merupakan bot nelayan asing dinaiki 6 kru termasuk tekong warga Vietnam berumur antara 23 hingga 50 tahun dan kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Tekong juga gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia,
“Bot dan kesemua mereka ditahan serta dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Katanya, nilai rampasan termasuk bot, gamat lebih kurang 40 kilogram, bahan bakar diesel lebih kurang 1200 liter dan peralatan menangguk gamat dianggarkan berjumlah RM350 ribu. – airtimes.my