PORT DICKSON, 9 Okt – Seramai 2,525 perajurit muda berjaya menamatkan Kursus Asas Latihan Tentera Darat pada acara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 193/21 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), hari ini.
Majlis perbarisan tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Zamrose dalam ucapannya berkata, selaku benteng utama pertahanan negara, Tentera Darat Malaysia (TDM) perlu bersedia sebilang masa untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman kepada negara.
“TDM perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi ancaman semasa yang bukan lagi berbentuk tradisional dengan tujuan yang nyata,
“Malah ianya boleh hadir dalam pelbagai bentuk yang kadang kala sukar untuk dikenal pasti,” katanya.
Beliau turut menasihati perajurit muda untuk berusaha melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi menyempurnakan penugasan masing-masing di pasukan kelak.
“Apa yang dipelajari selama berada di PUSASDA hanyalah ilmu kemahiran asas yang perlu terus digilap sepanjang perkhidmatan,
“Di samping itu, bentuklah kesatuan yang jitu serta sikap saling bekerjasama sesama warga TDM agar amanah mempertahankan negara dapat dipikul bersama dan ditunaikan sebaik yang mungkin,” ujarnya.
Tegasnya, tujuan utama perajurit muda memasuki perkhidmatan TDM adalah untuk mempertahankan kedaulatan tanah air dan bumi pertiwi yang tercinta ini.
“Oleh itu, saya menyeru saudara (perajurit muda) sekalian agar sentiasa mempamerkan profesionalisme, keterampilan dan akhlak yang terpuji,
“Elakkan dari terjerumus dengan gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah dan kes-kes pelanggaran tatatertib yang mencemarkan imej Tentera Darat,” jelasnya.
Perajurit muda yang menjalani latihan di PUSASDA, telah dilengkapkan dengan segala aspek pengetahuan asas ketenteraan serta kemahiran yang diperlukan sebagai seorang anggota TDM yang terlatih.
Fokus latihan terarah kepada pembinaan aspek jasmani dan fizikal, serta aspek kerohanian bagi memastikan mereka tampil sebagai seorang perajurit muda yang berkeyakinan, berketerampilan, berdisiplin serta kompeten.
Anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik dirangkul anak kelahiran Batu Pahat, Johor, Azrel Ishak, manakala Akademik Terbaik disandang oleh Muhd Luqman Fawwaz Salimi dari Banting, Selangor.
Patrick Nyaum anak Jantan, dari Sibu, Sarawak menerima anugerah Perajurit Muda Kecergasan Jasmani Terbaik dan Kawad Terbaik pula disandang oleh Mohamad Shamirul Ramza berasal dari Sungai Udang, Melaka.
Turut hadir pada majlis ini, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd Hadi. – airtimes.my
Gambar galeri: