Home Semasa Rumah merah, sarang pelacuran warga asing diserbu Imigresen

Rumah merah, sarang pelacuran warga asing diserbu Imigresen

by Air Times News Network

PUDU, 7 Okt – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu ‘rumah merah’ yang menjalankan aktiviti pelacuran di kawasan apartment kos rendah Jalan Pudu, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi yang dijalankan ke atas 2 buah premis itu disyaki menjalankan aktiviti pelacuran dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau menjelaskan, hasil risikan ke atas premis mendapati kawasan tersebut dikunjungi pelanggan dari warga tempatan dan warga asing dengan menggunakan perkhidmatan seks yang ditawarkan dengan harga RM60 bagi satu langganan.

“Seramai 27 Pegawai Imgresen dari Unit Operasi dari Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen telah menyerbu kedua-dua premis secara serentak pada jam 3.30 petang semalam,

“Cubaan meloloskan diri oleh wanita-wanita warga asing dan pelanggan berjaya digagalkan apabila kesemua jalan keluar dari premis tersebut telah dikepung oleh pegawai serbuan ketika penjaga pintu hadapan ditahan,

“Hasil serbuan yang dijalankan, seramai 13 orang warga asing berumur 20 hingga 40 tahun yang terdiri daripada 8 wanita warga Vietnam, 4 wanita warga Indonesia dan seorang lelaki warga Vietnam telah ditahan,” tambahnya.

Khairul Dzaimee berkata, 2 lelaki yang merupakan penjaga pintu dan 6 lelaki warga tempatan yang merupakan pelanggan di premis tersebut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan di pejabat Imigresen.

“Kegiatan pelacuran ini terbahagi kepada 2 shif iaitu shif pagi dari jam 7 pagi sehingga 3 petang dan shif petang bermula dari 3 petang hingga jam 9 malam,

“Kebiasaannya seorang pelacur mampu melayan sehingga 14 orang pelanggan bagi 1 shif,

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” ujarnya.

Menurutnya, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!