[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=Oe6NRdpXjVs[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Kerajaan tidak akan membuka pintu sempadan negara sewenang-wenangnya, sebaliknya kebenaran kemasukan pengembara bukan warganegara bergantung kepada maklumat situasi COVID-19 dari negara asal mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan buat masa ini, kerajaan meletakkan syarat mereka yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke negara ini, namun sempadan masih belum dibuka kepada pelancong.
“Kalau kita lihat dari segi sejarahnya walaupun kita buka pintu negara kita kepada warganegara asing untuk masuk tetapi perkembangan di negara asal pengembara itu juga diambil kira,
“Setiap tindakan kerajaan kita dapat pandangan dan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang buat penilaian risiko, kita tidak buka (sempadan) sewenang-wenangnya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Razali Idris mengenai persediaan membuka sempadan negara sebaik kadar kes harian COVID-19 berkurangan.
Dalam masa yang sama, Ismail Sabri berkata, persediaan melalui garis panduan terperinci serta penilaian risiko oleh KKM akan dijalankan terhadap setiap pengembara berdasarkan kepada permohonan untuk kuarantin di rumah atau di tempat kediaman.
“Di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), kerajaan sentiasa menambah baik SOP berkaitan perkara ini,
“Bermula 12 Ogos lalu, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang telah menerima imunisasi lengkap boleh membuat permohonan menjalani kuarantin wajib di rumah atau di tempat kediaman,
“Namun, kebenaran ini hanya boleh diberikan tertakluk kepada penilaian risiko oleh pihak KKM dan pemohon masih perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum diberi kebenaran,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan sentiasa memberikan keutamaan terhadap pematuhan SOP, meningkatkan penerapan amalan kawalan kesihatan awam serta menekankan kepentingan suntikan imunisasi kepada seluruh rakyat Malaysia.-airtimes.my