BALUCHISTAN, 7 Okt – Sekurang-kurangnya 20 orang maut termasuk kanak-kanak dalam satu kejadian gempa bumi di wilayah Baluchistan, barat Pakistan.
Pihak berkuasa Pakistan turut mengesahkan seramai 300 penduduk cedera akibat bencana alam yang melanda beberapa buah bandar di kawasan berhampiran sempadan Pakistan-Afghanistan.
Jurucakap pihak berkuasa Baluchistan, Suhail Anwar Shaheen menyatakan angka maut dan cedera dijangka akan terus meningkat.
“Gempa bumi berlaku ketika penduduk sedang tidur di kediaman masing-masing,” jelas Suhail.
Sementara itu, agensi media antarabangsa memetik kenyataan pihak penyelamat yang menjelaskan kebanyakan mangsa terkorban adalah kanak-kanak dan wanita.
Gempa bumi sekuat 5.9 skala Richter berlaku sekitar jam 3 pagi waktu tempatan telah memusnahkan lombong arang batu dan lebih 100 rumah yang terletak di kawasan pergunungan. – airtimes.my