RANTAU PANJANG, 7 Okt – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana membawa keluar 6 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Lalang Pepuyu, Rantau Panjang, semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, anggota PGA berpangkat Koperal berusia 33 tahun bersama rakannya berusia 28 tahun ditahan sepasukan anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.
Beliau berkata, kedua-dua mereka ditahan ketika anggota sedang melaksanakan rondaan di Lubok Gong, sebelum melihat kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex yang dinaiki oleh suspek dalam keadaan mencurigakan.
Tambahnya lagi, PDRM turut merampas wang tunai, mata wang Thailand berjumlah RM1,276, telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan, terdapat 2 lelaki iaitu anggota polis dan rakannya bersama 6 lagi warga Thailand berusia diantara 4 hingga 48 tahun berada di dalam kenderaan tersebut,
“Kesemua warga Thailand yang ditahan terdiri daripada 5 wanita dan seorang kanak-kanak didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan tamat tempoh,
“Anggota polis yang ditahan mendakwa kesemua migran yang dibawa adalah untuk dijadikan pekerjanya di sebuah kedai makan di Kuantan, Pahang,” ujarnya dalam sidang media di IPK Kelantan hari ini.
Shafien berkata, hasil siasatan mendapati kesemua migran memasuki Malaysia melalui pangkalan haram di Sungai Golok dan mengaku datang ke negara ini adalah untuk bekerja di kedai makan di Taman Melawati, Gombak serta menafikan untuk bekerja di kedai anggota polis itu.
“Kedua-dua suspek itu menyewa kenderaan tersebut dengan kadar RM450 sehari bagi memudahkan mereka membawa PATI,” tambahnya.
Menurutnya, anggota polis yang ditahan itu pernah bertugas di persempadanan negara sebelum dikenakan tindakan disiplin dan dipindahkan ke Pahang.
“Anggota polis bersama rakannya ditahan reman selama 28 hari bermula hari ini di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma),
“Mereka ditahan untuk siasatan mengikut 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan PATI tersebut ditahan untuk siasatan mengikut 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk anggota polis jika mereka melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang,” katanya. -airtimes.my