BANGKOK, 6 Okt – Panglima Tentera Udara Thailand, Air Chief Marshal Napadej Dhupatemiya menegaskan negara itu memerlukan jet pejuang baharu dan moden.
“Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) memerlukan pesawat baharu dan canggih untuk memperkukuhkan keupayaan pertahanan negara,
“Peperangan pasti berlaku dan Thailand mesti bersedia,” kata Napadej dipetik oleh Bangkok Post.
Beliau menegaskan, Thailand perlu bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan akan berlakunya konflik di masa hadapan.
“Jet pejuang yang dimiliki oleh RTAF semakin usang. Ia perlu digantikan dengan jet pejuang yang baharu serta moden,” jelasnya.
Napadej Dhupatemiya merupakan Panglima Tentera Udara Thailand ke-28 yang baharu dilantik pada 1 Oktober lalu.
Beliau merupakan anak kepada bekas Panglima Tentera Udara Thailand ke-10, Praphan Dhupatemiya.
Menurut Napadej, ayahnya pernah berpesan bahawa RTAF memerlukan jet pejuang yang canggih seperti F-35 sekiranya Bangkok mampu untuk melakukan perolehan dan mendapat sokongan rakyat. – airtimes.my