Home Pertahanan dan Keselamatan 1,500 anggota ATM, warga Kementerian Pertahanan terima bakul makanan

1,500 anggota ATM, warga Kementerian Pertahanan terima bakul makanan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Seramai 1,500 penerima yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan warga awam Kementerian Pertahanan menerima sumbangan bakul makanan dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, hari ini.

Beliau menegaskan, isu kebajikan, keselesaan dan kesejahteraan warga Kementerian Pertahanan serta anggota ATM amat penting.

Menurutnya, faktor berkenaan dapat mengekalkan moral, meningkatkan semangat dan memastikan kesungguhan anggota tentera serta kementerian dalam mencurahkan khidmat bakti demi tanah air.

“Atas dasar itulah, saya ingin mengambil kesempatan bukan sahaja mengalu-alukan kehadiran serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee atas kesudian untuk melaksanakan kerjasama yang merentasi Kementerian antara MAFI serta Kementerian Pertahanan,

“Pendekatan kerjasama bersepadu dan merentasi kementerian seperti ini sememangnya amat penting terutamanya di era pandemik yang serba mencabar ini yang mana warga kementerian dan ATM juga tidak terkecuali daripada menerima kesannya,

“Sebab itu, saya bukan sahaja mengalu-alukan sumbangan yang diterima hari ini tetapi rasa bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang telah tampil kehadapan untuk menyalurkan sumbangan kepada ATM dan Kementerian Pertahanan sehingga hari ini,

“Hari ini Kementerian Pertahanan lebih bertuah kerana mendapat sumbangan bakul makanan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melalui MAFI yang bakal memanfaatkan seramai 1,500 penerima pada hari ini,” katanya dalam Majlis Penyerahan Bakul Makanan Sumbangan FAMA melalui MAFI kepada Kementerian Pertahanan, pada Rabu.

Terdahulu, Hishammuddin telah menerima sumbangan daripada Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Panglima-Panglima Perkhidmatan. -airtimes.my

Galeri Gambar:

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!