KUALA LUMPUR, 5 Okt – Sebanyak 149 kes positif COVID-19 telah dikesan hasil saringan di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi sejak Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik bermula pada 16 September 2021.
Manakala, 186 individu pula merupakan kontrak rapat kepada 149 kes positif tersebut.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut berkata, jumlah itu direkodkan sehingga jam 12 tengah semalam melibatkan saringan seramai 40,458 orang merangkumi 34,038 orang di 7 pintu masuk lapangan terbang dan 6,420 orang melalui feri di Kuala Perlis dan Kuala Kedah.
“Seramai 36,842 orang telah menjalani saringan menggunakan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dan daripada jumlah ini, sebanyak 149 kes positif COVID-19 dikesan dan 186 individu lagi merupakan kontak rapat kepada 149 kes tersebut,
“Mereka telah diasingkan dan diberi Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19, pada Isnin.
Beliau menjelaskan, seramai 641 orang telah menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum bertolak ke Pulau Langkawi dan kesemua keputusan adalah negatif.
“Baki 2,975 kanak-kanak di bawah 6 tahun tidak menjalani ujian COVID-19 serta dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham menjelaskan, Kluster Dah Teluk Nibong yang dikesan di Langkawi pada 1 Oktober lalu tidak berkaitan dengan kes pelancong kanak-kanak yang didapati positif pada 26 September 2021.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati penularan jangkitan disyaki dari komuniti dan seterusnya merebak di tempat kerja akibat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja dan asrama penginapan.
“Kluster itu dikategori sebagai kluster tempat kerja melibatkan penduduk tempatan Langkawi iaitu pekerja dan kontak rapat ahli keluarga,
“Sehingga hari ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat saringan terhadap 249 orang dan merekodkan 59 kes positif, 187 individu negatif manakala 3 lagi masih menunggu keputusan,
“Kesemua kes jangkitan COVID-19 Kluster Dah Teluk Nibung merupakan kategori 1 dan 2 melibatkan penduduk tempatan Langkawi iaitu pekerja serta kontak rapat ahli keluarga,” tambahnya.
Menurutnya, kesemua kontak rapat telah dikenalpasti dan dilakukan swab serta diberi arahan HSO selama 10 hari.
“Sehingga kini, penularan jangkitan terkawal,” katanya.
Dr Noor Hisham menambah, KKM akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Langkawi bagi memantau penularan jangkitan.
“KKM juga akan menjalankan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam menjalankan penilaian risiko bagi membolehkan lebih banyak lagi tempat pelancongan dibuka dari masa ke masa,” tambahnya.
Sehingga semalam, Dr Noor Hisham menjelaskan, kes sembuh yang direkodkan adalah sebanyak 15,456 iaitu mengatasi jumlah kes baharu iaitu 8,075 kes.
Menurutnya daripada jumlah kes baharu itu, 7,915 kes (98 peratus) adalah kategori 1 dan 2 manakala 160 kes (2 peratus) merupakan kategori 3, 4 dan 5.
“Kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 867 dengan 461 kes memerlukan bantuan pernafasan,
“Sebanyak 15 lagi kluster baharu dikenal pasti melibatkan 7 kluster tempat kerja, 6 kluster komuniti, serta masing-masing 1 kluster kumpulan berisiko tinggi dan institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan,” jelasnya. – airtimes.m