LUMUT, 1 Okt – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa siapsiaga untuk mengaturgerak aset bagi menjaga kedaulatan perairan negara.
Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, keadaan perairan negara, termasuk Laut Cina Selatan (LCS) ketika ini masih terkawal daripada sebarang ancaman.
“TLDM melaksanakan operasi di perairan negara termasuk di perairan LCS dan kawasan berkaitan. Memang ada kemasukan aset asing di kawasan berkenaan (yang sudah berlaku sejak 2013) dan kita akan laporkan untuk tindakan lanjut,
“TLDM sentiasa memantau bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana ia turut membabitkan pengawasan udara dan kita (akan) melaporkan kepada pihak tertentu berkaitan kehadiran unsur-unsur asing ini,” jelasnya pada sidang media selepas Upacara Penamaan dan Pentauliahan Pusat Latihan Paskal kepada Kapal Diraja (KD) PANGLIMA GARANG di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.
Abdul Rahman menegaskan, situasi itu kini masih terkawal dan TLDM sentiasa melaksanakan tugasan di kawasan berkenaan selama 24 jam dan akan sentiasa bersedia sepertimana yang diarahkan bagi memantau keadaan.
“Kita mengambil tindakan, memaklumkan mereka. Kita menghubungi mereka dan seterusnya akan melaporkan kehadiran mereka,” tambahnya.
Namun, untuk menganggap sesuatu kehadiran itu adalah pencerobohan, ia memerlukan siasatan dan pemeriksaan lanjut kerana mempunyai perbatasan maritim.
“(Apabila) dia (kehadiran sesebuah kapal asing) melalui kawasan berkenaan, kita akan melaporkan dan mengesan serta menyalurkan maklumat kepada pihak tertentu,” jelasnya.
Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan menyempurnakan upacara Penamaan dan Pentauliahan KD Panglima Garang di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Dasar) Ahmad Nazri Mohd Hasan.
KD Panglima Garang dinamakan sempena nama Panglima Garang dalam sejarah Kesultanan Selangor iaitu gelaran yang dianugerahkan kepada pahlawan Melayu yang mempunyai sifat keberanian dan taat setia. -airtimes.my