[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=hbYzHYpsipM[/embedyt]
LUMUT, 1 Okt – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan semua warga Pasukan Khas Laut (PASKAL) untuk mempersiapkan diri dalam segala aspek kemahiran, fizikal dan mental serta sentiasa mempunyai kemampuan diri untuk melaksanakan misi yang diamanahkan oleh kepimpinan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Baginda selaku Kepten Yang Dipertua TLDM bertitah menegaskan, tugasan sebagai seorang anggota PASKAL adalah sangat mencabar dan berisiko tinggi.
Oleh itu, baginda menyeru semua warga PASKAL agar sentiasa mempersiapkan diri dengan melakukan latihan yang terbaik untuk kegunaan masa hadapan.
“Teruskan menimba ilmu pengetahuan sesuai dengan perkembangan teknologi semasa demi berdepan dengan cabaran yang kompleks pada masa ini,
“Anda jangan sesekali mencemarkan maruah dan kehormatan PASKAL. Lambang trimedia yang tersemat di dada anda adalah lambang keramat yang perlu dipertahankan,
“Jangan menggadaikan prinsip seorang anggota PASKAL dengan melibatkan diri kepada perkara yang tidak bermoral dan melanggar peraturan perkhidmatan. Anda wajib berpegang teguh kepada sumpah dan ikrar PASKAL,” titah baginda pada Upacara Penamaan dan Pentauliahan KD Panglima Garang di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pada Jumaat.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Dasar), Ahmad Nazri Mohd Hasan.
Baginda turut bertitah bahawa perasmian pada hari ini merupakan sebuah pengiktirafan besar kepada seluruh warga TLDM khususnya anggota PASKAL.
“Rasa bangga apabila dapat melihat kejayaan TLDM khususnya PASKAL membina fasiliti Pusat Latihan ini,
“Kejayaan ini bertepatan dengan usaha untuk melatih warga PASKAL yang cekap, terlatih dan sentiasa yang terbaik,” titah baginda.
Pemilihan nama KDPG diambil bersempena sejarah gelaran Pendekar Panglima Garang yang handal dan digeruni di Zaman Kesultanan Negeri Selangor.
“Nama Panglima Garang merupakan gelaran yang dianugerahkan kepada Pahlawan Melayu yang mempunyai sifat keberanian dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tengku Panglima Besar Raja Abdul Samad yang dilantik dan ditabalkan sebagai Sultan Selangor ke-4 pada 6 Januari 1857, mempunyai panglima yang handal di dalam ilmu pertempuran dan sangat setia di dalam mempertahankan keselamatan Sultan dan kerajaan,
“Panglima Garang yang merupakan seorang pendekar yang sangat handal di dalam permainan senjata dan memiliki ilmu peperangan yang tinggi serta amat digeruni musuh. Beliau sangat digeruni dan menjadi sejarah negeri Selangor,
“Berdasarkan ciri-ciri yang dimiliki oleh Panglima Garang yang memiliki ilmu kebatinan yang tinggi serta kesetiaan tidak berbelah bahagi dan juga melambangkan ciri seorang guru yang disegani, handal dalam ilmu pertempuran dan bijaksana dalam mengatur strategi peperangan yang perlu dicontohi adalah amat bertepatan Pusat Latihan Pasukan Khas Laut (PLPKL) dinamakan KD PANGLIMA GARANG,” jelas TLDM.-airtimes.my