KUALA LUMPUR, 29 Sept – China ingin bekerjasama dengan Malaysia untuk mempraktikkan multilateralisme sebenar, bagi mendukung kesaksamaan dan keadilan antarabangsa serta dan membawa hubungan China-Malaysia ke tahap lebih cemerlang, kata Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing.
Beliau berkata China juga bersedia bersama dengan Malaysia mempromosi pembangunan berkualiti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta memacu kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk vaksin, perdagangan, pelaburan, budaya, pelancongan dan pendidikan, sambil memanfaatkan potensi kerjasama dalam bidang baharu seperti ekonomi digital, e-dagang, teknologi tinggi dan keselamatan siber.
“Meskipun pandemik terus berleluasa, saya percaya bahawa tiada yang dapat menghentikan langkah kita. Selagi kedua-dua negara berpegang teguh pada solidariti dan fokus kepada kerjasama, kita pasti dapat mengalahkan pandemik dan mencapai masa depan yang cerah.
“Saya juga amat yakin bahawa dengan usaha kita bersama, persahabatan China dan Malaysia akan membawa pertumbuhan yang stabil dan meningkat ke tahap baharu,” katanya semasa berucap pada Majlis Memperingati Ulang Tahun ke-72 Penubuhan Republik Rakyat China secara maya pada Selasa.
Hadir sama Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
Ouyang berkata persahabatan Malaysia dan China sudah lama wujud, dan sejak terjalinnya hubungan diplomatik, kedua-dua negara menikmati kemajuan kukuh dalam kerjasama dua hala dan persahabatan yang semakin erat.
Beliau berkata sejurus selepas pelantikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri China, Li Keqiang turut mengirimkan perutusan tahniah.
“Mendepani cabaran pandemik dalam abad ini, kedua-dua kerajaan dan rakyat berganding bahu untuk memerangi virus itu dan menempuhnya bersama pada masa yang sukar ini. Ibarat pepatah “Bukit Sama Didaki, Lurah Sama Dituruni”
Kita berganding bahu dalam perjalanan menuju pemulihan ekonomi dan kemakmuran negara,” katanya.
Dalam usaha Malaysia melawan pandemik COVID-19, Ouyang berkata setakat ini, 36 juta dos vaksin China – Sinovac, CanSino dan Sinopharm telah dihantar ke Malaysia.
“Ada lagi bekalan vaksin sumbangan kerajaan China dijangka tiba di Malaysia dalam masa terdekat,” katanya.
Dari segi hubungan dagangan dan ekonomi, duta itu berkata pada separuh pertama tahun ini, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-China mencecah US$81.79 bilion, meningkat 43.9 peratus dari tahun ke tahun.
Pelaburan langsung bukan kewangan China ke Malaysia mencecah US$800 juta dolar, meningkat 76.3 peratus tahun ke tahun.
Sementara itu, Saifuddin dalam ucapannya berkata Malaysia gembira melihat pembangunan China, terutama dalam sektor ekonominya.
Beliau turut memuji Presiden Xi Jinping atas kepemimpinannya yang dinamis kerana China telah menunjukkan pembangunan dan daya tahan ekonomi yang luar biasa serta prospek pertumbuhan positif di peringkat dunia.
Mengenai hubungan dua hala, Saifuddin berkata hubungan Malaysia-China bertambah erat sejak tercetusnya COVID-19 ketika kedua-dua negara saling membantu dalam memerangi pandemik tersebut.
China adalah rakan dagang terbesar Malaysia selama 12 tahun berturut-turut sejak 2009 dan pada 2020, China juga merupakan destinasi eksport dan sumber import terbesar Malaysia.
Selain itu, China juga pelabur terbesar di Malaysia selama lima tahun berturut-turut dari segi pelaburan yang diluluskan.
Saifuddin turut mengulangi kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan China dalam merealisasikan inisiatif BRI. – BERNAMA