KUALA PERLIS, 28 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kuala Perlis merampas 600 kilogram (kg) daun ketum diisi dalam 60 bungkusan plastik hitam bernilai RM108,000 menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) Laut di kedudukan 0.3 batu nautika barat daya muara Kuala Perlis, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, sebuah bot ronda APMM telah diaturgerak bagi melakukan pengesanan dan serbuan ke lokasi setelah menerima maklumat risikan berkaitan aktiviti sindiket tempatan yang bergiat aktif menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran.
“Semasa rondaan, anggota bot telah mengesan seorang suspek sedang mengemudi bot kayu tanpa nombor pendaftaran menggunakan enjin sangkut bergalah dalam keadaan yang mencurigakan menuju keluar dari muara Kuala Perlis ke sempadan Thailand,
“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan dengan berpatah balik ke arah persisir pantai Kuala Perlis dan terjun dari bot tersebut lalu melarikan diri ke daratan berhampiran meninggalkan bot serta muatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan telah menemukan bungkusan-bungkusan plastik hitam yang disyaki daun ketum dengan anggaran berat 600kg dan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.
“Nilai rampasan dianggarkan sekitar RM108,000 dan nilai keseluruhan rampasan sekitar RM116,000,” ujarnya.
Menurutnya, kesemua bungkusan plastik hitam berisi daun ketum, bot kayu tanpa nombor pendaftaran dan enjin bergalah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,
“Jika disabit kesalahan, suspek yang ditangkap boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,” katanya lagi.
Katanya, kesemua bekalan daun ketum ini dipercayai cuba diseludup ke Thailand berikutan permintaan yang tinggi.
“Kebenaran penggunaan ketum secara terbuka oleh kerajaan Thailand telah mendorong sindiket melakukan aktiviti penyeludupan melalui jalan laut semakin aktif,
“Untuk rekod, ini adalah rampasan ke-14 membabitkan daun ketum pada tahun ini bagi Zon Maritim Kuala Perlis dengan jumlah berat keseluruhan 6,755 kilogram bernilai RM1,232,900.00,” jelasnya. – airtimes.my