Home Pertahanan dan Keselamatan 9 nelayan Vietnam ditahan, cuba rompak hasil negara

9 nelayan Vietnam ditahan, cuba rompak hasil negara

by Nurulhuda

PASIR PUTEH, 28 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan 2 bot Vietnam yang menceroboh dan cuba merompak gamat dalam 2 serbuan berasingan di perairan Kelantan, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, 2 buah bot tersebut dikesan pada jarak lebih kurang 54 dan 56 batu nautika daripada Muara Tok Bali oleh Kapal Maritim Amanah ketika menjalankan Operasi Kuda Laut pada pukul 3.29 petang.

Beliau berkata, anggotanya mengambil masa lebih kurang satu jam setengah untuk memintas dan menahan kedua-dua bot tersebut.

“Semasa dirapati, kedua-dua bot bertindak melepaskan tali ke dalam air serta meletakkan besi penghadang di sisi bot mereka bagi mengelakkan daripada ditahan,

“Bot-bot tersebut juga cuba melarikan diri menuju ke sempadan perairan Thailand namun berjaya dipintas dan ditahan di kedudukan lebih kurang 3 batu nautika daripada sempadan perairan Thailand,” jelasnya menerusi hantaran di media sosial APMM, pada Isnin.

Syed Nor Adli menjelaskan, hasil pemeriksaan ke atas bot pertama yang ditahan pada jam 5.07 petang mendapati, bot dikendalikan 5 kru termasuk tekong, manakala bot kedua ditahan pada jam 5.35 petang dikendalikan 4 kru termasuk tekong.

“Kesemua 9 kru termasuk 2 tekong merupakan warga Vietnam berumur dalam lingkungan 24 hingga 53 tahun,

“Tangkapan kali ini melibatkan rampasan 2 bot dan bekalan diesel lebih kurang 10,000 liter. Tiada sebarang hasil laut ditemui dan kedua-dua bot dipercayai baharu sahaja masuk ke perairan negara dan belum sempat melakukan kegiatan menangguk gamat,

“Kedua-dua bot tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985. Kesemua kru termasuk tekong juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” jelasnya.

Menurutnya, 2 bot, 9 kru termasuk tekong, bekalan diesel dan peralatan menangkap gamat ditahan seterusnya diiring masuk ke Jeti Maritim Tok Bali untuk siasatan.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, diesel dan peralatan menangguk gamat dianggarkan berjumlah lebih kurang RM 600,000,

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!