Home Pertahanan dan Keselamatan RM2.6 juta bina, baik pulih rumah veteran ATM

RM2.6 juta bina, baik pulih rumah veteran ATM

by Air Times News Network

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=WY8GMRnNxkU[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, Kementerian Pertahanan telah memperuntukkan RM2.6 juta pada tahun ini bagi mensasarkan pembinaan sebanyak 28 buah rumah baharu dan membaik pulih 72 buah rumah diseluruh negara.

Beliau berkata, skop bantuan bina baharu ini diperuntukkan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak memiliki rumah atau mendiami rumah yang terlalu uzur, tidak selamat diduduki dan tidak ekonomi untuk dibaiki serta mempunyai tanah atau tapak sendiri.

“Manakala, skop bantuan baik pulih pula hanya melibatkan komponen-komponen asas rumah sahaja seperti bumbung, dinding, lantai, tingkap yang tidak melibatkan struktur asas rumah,” katanya bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom berhubung perancangan Kementerian Pertahanan dalam aspek kebajikan khususnya perumahan mampu milik kepada veteran ATM di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Ikmal, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) telah dipertanggungjawabkan untuk memperkasa program pemilikan rumah veteran ATM, di samping mencari kaedah dan penyelesaian terbaik untuk membantu golongan veteran ATM yang masih belum memiliki rumah sendiri.

“Secara keseluruhannya, program ini merupakan satu usaha murni kerajaan bagi menghargai jasa dan penat lelah veteran ATM yang banyak berkorban dan menyumbang bakti kepada tanah air khususnya veteran ATM dari kelompok kurang berkemampuan dan B40 dengan menawarkan kemudahan kediaman yang selesa dan selamat,” ujarnya.

Katanya, Kementerian Pertahanan amat menitikberatkan aspek kebajikan terutama berkaitan perumahan mampu milik kepada veteran ATM.

“Ini adalah sejajar dengan Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021–2025 iaitu di bawah Teras Strategik Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM yang mana kementerian beriltizam melaksanakan program baik pulih dan pembinaan rumah baharu bagi membantu veteran ATM yang berpendapatan rendah atau miskin dalam menyediakan tempat kediaman yang kondusif dan selesa diduduki,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!