KUALA LUMPUR, 23 Sept – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini sedang melaksanakan kajian terhadap skim perkhidmatan bagi meneliti kadar pemberian pencen kepada anggota yang telah berkhidmat selama 12, 15 dan 18 tahun.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, kajian berkenaan merupakan inisiatif baharu dalam ATM kerana skim pencen sebelum ini terpakai kepada mereka yang berkhidmat selama 21 tahun dan ke atas sahaja.
Beliau berkata, kaedah yang holistik diperlukan agar mampu memperkasakan kualiti hidup warga secara keseluruhannya, sama ada di dalam perkhidmatan mahupun sebagai seorang veteran tentera.
“ATM sentiasa menitik beratkan hal ehwal kebajikan warganya dari mula memasuki angkatan sehinggalah ke penghujung hayat mereka,
“Dewasa ini, apa yang membimbangkan adalah apabila menyedari majoriti warga ATM akan terjerumus ke kategori B40 setelah menamatkan perkhidmatan kelak, jika hanya berharap kepada wang pencen atau simpanan tanpa sebarang kerjaya kedua,
“Dan sudah tiba masanya mertabat anggota tentera diberi perhatian yang serius oleh masyarakat dan negara,” katanya dalam perutusan Hari ATM ke-88 di Kem Segenting, pada Rabu.
Affendi menjelaskan, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) turut mewujudkan beberapa program bagi melayakkan bakal pesara memperolehi sijil yang diiktiraf oleh sektor awam dan swasta.
“Antara program yang diwujudkan ialah Program Recognition of Prior Experiental Learning (RPEL), Program Kerjaya Kedua, penganjuran kursus-kursus peralihan dan kemahiran,
“Selain itu, terdapat juga program kesedaran dan kaunseling bagi membantu menyediakan minda serta persepsi bakal pesara ini,”ujarnya.
Menurutnya, ATM dan Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) akan terus meneroka beberapa inisiatif baru demi memastikan kelangsungan hidup para veteran sekaligus mampu memperkasakan kualiti kehidupan mereka.
Semalam, Panglima Angkatan Tentera telah menyempurnakan sambutan Hari ATM ke-88 di Port Dickson.
Sambutan kali ini melibatkan 2,500 anggota tentera dan merangkumi Latihan Kesiagaan Aset dan Kompetensi ATM sebelum disusuli dengan Perbarisan Statik Tempur. -airtimes.my