[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=_72jh5oV8uQ[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 22 Sept – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia telah mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Beliau berkata, salah satu pengiktirafan yang diberi WHO adalah Hospital Medan ATM di Cox’s Bazar.
“Pengiktirafan ini membuktikan ATM memiliki keupayaan dan kewibawaan melaksanakan operasi ketenteraan selain perang khususnya berkaitan bantuan kemanusiaan dan bencana,
“Malah, pengiktirafan WHO ini menobatkan Hospital Medan Malaysia sebagai Hospital Medan Tahap 3 terbaik, terlengkap dan sangat dipercayai,” katanya pada sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, bagi menjawab persoalan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu yang mencadangkan pembinaan Hospital Medan ATM dengan mengambil model pembinaan hospital secara hybrid yang dilaksanakan di Wuhan oleh Kerajaan Republik Rakyat China.
Hishammuddin memaklumkan Kementerian Pertahanan sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mencontohi amalan terbaik yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa termasuk konsep pembinaan.
“Buat masa ini, kita di Malaysia, kaedah pembinaan Hospital Medan dibuat secara hibrid melalui kerjasama ATM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),
“Setakat ini sebanyak 8 buah Hospital Medan ATM telah didirikan di seluruh negara bagi membantu petugas KKM merawat pesakit COVID-19,” ujarnya. – airtimes.my