Semasa negara sedang dilanda badai COVID-19, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah terlibat secara langsung bersama kumpulan barisan hadapan (frontliner) yang lain bagi memastikan nyawa rakyat selamat dari ancaman musuh yang tidak kelihatan ini.
Baru-baru ini, ATM telah menamatkan kumpulan bertindak khusus Greater Klang Valley Special Task Force (GKV STF).
Gerak kerja GKV STF ini melibatkan sejumlah anggota dan pegawai ATM yang terdiri Pakar dan Pegawai Perubatan, Pegawai Farmasi dan Pegawai Teknikal Logistik. Kumpulan ini diaturgerak bagi membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menangani ledakan COVID-19 di kawasan Lembah Klang iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Atur gerak GKV STF merupakan salah satu daripada langkah yang dilaksanakan oleh ATM dalam membantu negara untuk membendung COVID-19.
Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM, ATM secara amnya telah memberi kerjasama dan bantuan kepada semua bentuk medium yang dimohon oleh agensi berwajib seperti KKM dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam mengekang penularan wabak COVID-19.
“Bantuan yang disalurkan tidak terhad kepada bantuan anggota malahan melibatkan aset-aset seperti kenderaan pengangkut, pesawat udara, peralatan rawatan, ubat-ubatan dan juga khidmat nasihat teknikal,” katanya semasa Wawwancara Khas Hari ATM ke-88 baru-baru ini.
Menurut beliau, ATM telah melaksanakan beberapa inisiatif utama termasuk GKV STF bagi membantu KKM dan agensi Kerajaan yang lain bagi usaha memerangi pandemik COVID-19.
Antara inisiatif lain adalah Penubuhan Hospital Medan ATM, Decanting Hospital dan Program Vaksinasi ATM.
Hospital Medan ATM
Inisiatif Hospital Medan ATM bermula pada Oktober 2020 ketika Sabah sedang bergelut dengan peningkatan kes COVID-19 di negeri itu. Inisiatif tersebut kemudiannya diperluaskan ke seluruh negara mengikut keperluan.
Menurut Panglima Angkatan Tentera, ia merupakan inisiatif terawal ATM dalam membantu KKM.
“Objektif penubuhan hospital medan ini adalah untuk menambah bilangan katil di hospital-hospital yang memerlukan bantuan mengikut keperluan semasa,
“Ini membolehkan hospital berkenaan menerima lebih banyak pesakit COVID-19 atau bukan COVID-19,” jelas Affendi.
Beliau menambah, keperluan penubuhan Hospital Medan bergantung kepada keadaan.
“Hospital Medan ditubuhkan mengikut kawasan dan ada diantaranya telah pun ditutup. Walaupun bilangan kes di Lembah Klang telah menurun, ada di antara Hospital Medan masih beroperasi secara minima,” katanya.
Beliau menambah, ATM sentiasa bersedia untuk menubuhkan Hospital Medan sekiranya diperlukan.
“ATM sentiasa bersedia,” katanya.
Di bawah inisiatif ini juga, ATM telah menjadikan Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan sebagai Zon Pengurusan Bencana (Disaster Management Zone, DMZ).
“DMZ berfungsi merawat pesakit-pesakit COVID-19 tahap 3, 4 dan 5 yang dipindahkan daripada beberapa hospital KKM di Lembah Klang selain yang dirujuk oleh Covid Asessment Center (CAC) setempat,
“Ia agak berbeza dan unik berbanding hospital medan lain sebelum ini,” katanya.
DMZ merupakan sebuah kawasan yang telah sedia dilengkapi dgn kemudahan zon rawatan bagi menangani kes-kes kecemasan berskala besar seperti kebakaran, kebocoran gas dan seumpamanya.
Fasiliti di HAT Tuanku Mizan mempunyai 150 katil di samping 10 katil ICU dan ianya berupaya untuk ditingkatkan menjadi 250 katil.
Selain dijadikan sebagai DMZ, HAT Mizan turut dijadikan sebagai decanting hospital bagi memberikan ruang kepada hospital KKM terpilih untuk memberi fokus kepada kes-kes COVID-19.
“Ia dilakukan dengan cara memindahkan pesakit dari hospital KKM berkenaan untuk menjalani rawatan dan pembedahan di hospital ATM,” ujar Affendi.
HAT Tuanku Mizan telah dipilih sebagai Decanting Hospital untuk Hospital Kuala Lumpur.
Inisiatif sama turut dilakukan di Melaka, Perak dan Sabah.
94 Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak Melaka dipilih sebagai Decanting Hospital untuk Hospital Melaka. 96 Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut memainkan peranan yang sama untuk Hospital Manjung manakala Hospital Wilayah Kota Kinabalu Pangkalan TLDM Teluk Sapanggar bagi Hospital Queen Elizabeth di Sabah.
Program Vaksinasi ATM
Bagi melindungi postur pertahanan negara dari terkesan dengan COVID-19, ATM turut melancarkan program vaksinasi di kalangan anggotanya. Program ini dilaksanakan bagi melindungi anggota tentera selaku frontliners negara dalam menghadapi COVID-19.
Menurut Affendi, program vaksinasi turut diperluaskan kepada ahli keluarga anggota, kakitangan Kementerian Pertahanan, para penyedia perkhidmatan di dalam fasiliti dan pangkalan-pangkalan ATM.
“Ini adalah salah satu usaha menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) agar negara dapat mencapai imuniti kelompok (herd immunity) dengan lebih pantas,” jelasnya.
Beliau menambah, ATM turut menganggotai Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin (JKJAV) dan terlibat dalam perancangan strategik PICK.
“ATM turut laksanakan ujian PPV pandu lalu dan Combat Medic (Pasukan Perubatan Tempur) di kawasan Sabah serta Sarawak,” kata Panglima Angkatan tentera.
Menurutnya, Perubatan Tempur dilakukan bagi di kawasan yang terpencil.
“Kawasan-kawasan sebegini mempunyai hubungan jalan yang amat sukar. Kita gunakan Pasukan Perubatan Tempur ini dengan melibatkan helikopter serta anggota tentera untuk laksanakan vaksinasi,” jelasnya lagi. – airtimes.my