Home Pertahanan dan Keselamatan Cubaan seludup 8 PATI gagal, 2 tekong ditahan

Cubaan seludup 8 PATI gagal, 2 tekong ditahan

by Nurulhuda

KUCHING, 20 Sept – Cubaan seorang lelaki tempatan dan warga Indonesia menyeludup masuk 8 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk wanita ke daerah ini secara haram gagal, apabila ditahan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dalam Operasi Benteng (Op Benteng), semalam.

Komander Briged Sarawak PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Saini Bongek berkata, kesemua mereka yang berusia antara 17 hingga 52 tahun itu ditahan di dalam sebuah van di sekitar kawasan Melikin, Serian kira-kira jam 6 petang.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua lelaki tempatan dan Indonesia itu dipercayai tekong dan telah membawa masuk 8 PATI berkenaan yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati lelaki tempatan itu berperanan sebagai ‘transporter’ serta tekong darat yang mengambil dan menghantar Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke destinasi yang ditetapkan sindiket.

“Mereka ini dipercayai menerima bayaran purata RM1,800 bagi setiap ‘trip’ mengikut jarak ke destinasi dengan membawa PATI yang menyelinap masuk ke sempadan negara melalui pelbagai cara termasuklah berjalan kaki dan menaiki kenderaan.

“Sindiket juga sering mengubah modus operandi bagi membawa PATI terutamanya diuruskan oleh dalang di negara jiran, Indonesia dan menggunakan rangkaian di Malaysia bagi mengatur perjalanan dan tempat transit sementara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata mereka juga licik kerana sentiasa memantau keadaan kawalan sekeliling dan mengetahui pergerakan pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan sempadan.

“Bahagian Kuching, Serian dan Sri Aman adalah antara lokasi panas kemasukan PATI,

“Ia disebabkan beberapa faktor seperti terdapatnya permintaan yang tinggi dan peluang pekerjaan yang luas dalam sektor pembuatan, perladangan, dan pembinaan serta lain-lain faktor penarik yang boleh menjamin kehidupan yang selesa dan selamat kepada mereka,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Saini berkata, pasukan Batalion 10 PGA, Sibu telah menahan dan mengusir 3 lelaki Indonesia berumur 27 hingga 34 tahun di sekitar kawasan Wong Pandak, Lubok Antu.

“Ketiga-tiga PATI itu ditahan ketika sedang berjalan kaki di sekitar jalan ladang dalam keadaan mencurigakan, kira-kira jam 6.55 pada pagi Ahad,” tambahnya.

Saini berkata, tangkapan dan rampasan yang dianggarkan bernilai RM32,400 telah diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Daerah Serian untuk tindakan dan siasatan lanjut. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!