KUALA LUMPUR, 20 Sept – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menegaskan Laut China Selatan mesti bebas dari sebarang provokasi.
“Pendirian saya dalam isu Laut China Selatan adalah jelas – kita tidak mahu sebarang pertembungan dan insiden yang tidak diingini berlaku di kawasan perairan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Hishammuddin menambah, segala isu yang timbul perlu diselesaikan secara aman.
Menurutnya, pendirian itu telah lama disuarakan oleh beliau semasa memegang portfolio Menteri Pertahanan sebelum ini.
Pada masa yang sama, Hishammuddin turut menyatakan beliau akan berbincang dengan rakan sejawatannya dari Australia,
Peter Dutton dalam satu panggilan telefon yang dijadualkan pada hari ini.
“Saya akan memaklumkan beliau akan pendirian Malaysia dalam isu penubuhan AUKUS seperti mana yang disuarakan oleh Perdana Menteri sebelum ini,” ujarnya.
Menteri Kanan Pertahanan turut menyatakan Putrajaya dan Canberra akan meneruskan kerjasama pertahanan terutamanya Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (Malaysia-Australia Joint Defence Program, MAJDP).
Satu mesyuarat peringkat tinggi diantara kedua-dua negara dijangka akan berlangsung pada tahun hadapan.
Malaysia dan Australia merupakan antara negara angota Aturan Pertahanan Lima Kuasa (FPDA). Aturan ini turut dianggotai Singapura, New Zealand dan United Kingdom.
Pada 21 Oktober ini, Malaysia akan menganjurkan Mesyuarat Menteri Pertahanan Negara Anggota FPDA ke-11.
Mesyuarat ini diadakan secara serentak dengan sambutan ulangtahun ke-50 FPDA. – airtimes.my